Omar Ahmad


Kota Tinggi: Lima mayat pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam insiden bot karam di perairan Tanjung Balau, di sini, ditemukan berhampiran lokasi kejadian awal, pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, mayat yang ditemukan, tiga lelaki dan dua wanita.

Katanya, mayat pertama (lelaki) ditemukan 6.45 pagi pada jarak 10 meter (m) dari Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Pantai Tanjung Balau.

"Ia diikuti mayat kedua (lelaki) ditemukan pada 6.52 pagi dengan jarak masing-masing 100 m dari PHC.

"Dua Mayat lagi iaitu masing-masing lelaki dan perempuan ditemukan pada 7.30 pagi, dua kilometer (km) dari PHC.

"Mayat kelima (wanita) pula ditemukan pada 7.45 pagi dengan jarak 2.5 km dari PHC," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Simon, dengan penemuan ini, ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa ditemukan seramai 30 orang iaitu 14 mangsa selamat, dan 16 mangsa meninggal dunia.

MAYAT lima mangsa yang ditemukan pagi ini. FOTO Ihsan APMM
MAYAT lima mangsa yang ditemukan pagi ini. FOTO Ihsan APMM

Katanya, APMM bersama agensi lain akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan 20 mangsa yang masih belum ditemukan.

Ia susulan tragedi bot yang membawa kira-kira 50 Pati, karam di perairan itu, semalam.

"Op Carilamat hari ini, membabitkan keluasan 147 batu nautika meliputi pencarian di sekitar perairan Tanjung Balau dengan kekuatan aset Kapal Maritim (KM) Tegas dan bot Petir 50 Maritim Malaysia serta aset-aset daripada agensi lain.

"Pencarian sektor udara seluas 76.5 batu nautika dengan menggunakan sebuah pesawat udara AW139 milik APMM," katanya.

Berita berkaitan

Bot 'tukar haluan' sebelum karam

Bot pancung terbalik, 21 Pati dilaporkan selamat [METROTV]

10 Pati maut, 46 lagi hilang, bot pancung terbalik

Cuaca buruk sukarkan operasi carilamat [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 9:50 AM