ANTARA mangsa yang selamat dalam kejadian bot karam. FOTO ihsan APMM
ANTARA mangsa yang selamat dalam kejadian bot karam. FOTO ihsan APMM
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Empat individu dikhuatiri lemas manakala tiga selamat dalam dua kejadian bot karam di perairan Selangor, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Selangor (APMM) mengkoordinasikan Operasi Mencari dan Menyelamat membabitkan dua kejadian berasingan itu.

"Kira-kira 4 petang semalam, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima maklumat bot nelayan tempatan Kelas C yang karam akibat dipukul ribut di kedudukan 23.08 batu nautika muara Kuala Selangor dari Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru (MRSC Johor Bahru) yang mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat.

"Difahamkan terdapat lima kru termasuk tekong berada di atas bot terbabit namun hanya dua kru sahaja sempat diselamatkan.

"Kesemua mereka adalah warga Indonesia berumur dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian, bot fiber karam kira-kira 2.9 batu nautika di perairan Tanjung Sepat, Selangor, dilaporkanjam pada 5.25 petang.

"Bot yang dikemudi oleh seorang lelaki dan anaknya itu karam akibat cuaca buruk.

"Anak mangsa, Mohd Farizal Abdul Rahman, 40, diselamatkan oleh bot nelayan berhampiran dan dia memaklumkan ayahnya hilang bersama bot.

"Mangsa dan bapanya keluar ke laut pada 7 pagi untuk mencari udang. Bapanya, Abdul Rahman Mat Kasim, 66, kali terakhir dilihat memakai baju T dan seluar hitam," katanya.

Beliau berkata, pencarian dilakukan dengan keluasan 50 batu nautika persegi yang membabitkan aset Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 11:12 AM