ARMIZAN (dua kanan)  melancarkan Kompilasi Keputusan Kes Tribunal Rayuan Persaingan selepas berucap di Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuti Bakar (dua kiri). FOTO Mohd Fadli Hamzah
ARMIZAN (dua kanan) melancarkan Kompilasi Keputusan Kes Tribunal Rayuan Persaingan selepas berucap di Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuti Bakar (dua kiri). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkasa Konsep Payung Rahmah dan menjadi satu daripada strategi menggerakkan agenda menangani kos sara hidup rakyat tahun ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Konsep Payung Rahmah akan diperluas melalui komponen Inisiatif Ihsan Rahmah Swasta dan Industri.

Menurutnya, penglibatan pihak swasta dan industri akan diperkasakan dengan membuka ruang kepada inisiatif dan program yang dirintis dan diperkenalkan sendiri oleh pihak swasta dan industri berbentuk sumbangan ihsan kepada komuniti termasuk pekerja mereka sendiri.

"Ini bermaksud konsep rahmah yang menjadi tema program dan agenda kebajikan kerajaan akan turut diperluaskan kepada program ihsan swasta dan industri dengan idea dan model mereka sendiri berpandukan kepada garis panduan Konsep Payung Rahmah," katanya pada sidang media bersempena Majlis Amanat Tahun Baharu KPDN di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDN, Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Inisiatif Payung Rahmah diperkenalkan bekas Menteri KPDN, Allahyarham Salahuddin Ayub bagi membantu golongan B40.

"Selepas berjaya memperkenalkan lima inisiatif di bawah Konsep Payung Rahmah pada 2023 iaitu Jualan Rahmah, Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Kafe Rahmah dan Pakej Rahmah, KPDN akan merintis lima Inisiatif Ihsan Rahmah pada tahun ini,"katanya.

Dalam pada itu Armizan menambah, KPDN juga akan menambahbaik pelaksanaan Program Jualan Rahmah tahun ini melalui beberapa pendekatan seperti pPelancaran Takwim Bulanan Jualan Rahmah 2024, Penawaran produk Pasar Rahmah di dalam Program Jualan Rahmah, Penganjuran Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) Musim Perayaan,Perluasan Bazar dan Ramadan.

Menurutnya,pemerkasaan Konsep Payung Rahmah ini adalah susulan daripada hasil dapatan Kajian Impak Program Payung Rahmah yang dilaksanakan oleh KPDN dari September hingga November 2023 lalu.

Katanya, antara dapatan kajian adalah 81 peratus daripada responden berpuas hati dengan pelaksanaan program tersebut, selain sebahagian berpendapat program berkenaan perlu ditambah baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 1:51 PM