Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Menu Rahmah akan dilancarkan di 20 kafe institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar Lembah Klang, selepas Aidilfitri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata langkah permulaan itu susulan kerjasama kementeriannya dan Kementerian Pengajian Tinggi, bagi memuktamadkan pengenalan Menu Rahmah di semua IPTA selain institusi lain yang berminat di seluruh negara.

Katanya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi maklum balas positif dan sangat bersetuju pengenalan Menu Rahmah di kafe IPTA seluruh negara.

"Pegawai dua KPDN dan Kementerian Pengajian Tinggi akan bertemu dalam masa terdekat bagi segera menyelaraskan pengenalan Meni Rahmah di kafe IPTA seluruh negara.

"Ia berikutan kafe di IPTA di bawah pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi manakala bekalan makanan di bawah bidang kuasa KPDN.

"Insya-Allah, selepas Aidilfitri nanti, kita akan melancarkan Menu Rahmah di 20 kafe IPTA di Lembah Klang sebagai permulaan, sebelum dilancarkan ke institusi pengajian swasta dan lain-lain di seluruh negara selepas itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Menu Rahmah di sebuah bistro di sini, hari ini.

SALAHUDDIN menunjukkan Menu Rahmah di AEON BiG Wangsa Maju. FOTO Fathil Asri
SALAHUDDIN menunjukkan Menu Rahmah di AEON BiG Wangsa Maju. FOTO Fathil Asri

Semalam, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, Program Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 dilaporkan akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi (IPT), dalam masa terdekat.

Kelmarin, lebih 15,000 restoran dan premis dilaporkan menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai, memuji inisiatif Samballana Bistro yang memperkenalkan Menu Rahmah membabitkan hidangan 'chicken chop' dan minuman mangga pudina.

"Ini akan membolehkan golongan B40 sekitar Bandar Dato Onn dan Johor Bahru mendapatkan hidangan Menu Rahmah di sekitar kawasan itu,

"Semalam saya terharu apabila seorang ibu di Ipoh, Perak, sanggup meredah hujan dengan menaiki motosikal membawa anaknya bagi mencari hidangan Menu Rahmah.

"Ia sesungguhnya memberi motivasi kepada saya untuk berusaha lebih gigih bagi memastikan program Menu Rahmah dilancarkan di lebih banyak lokasi bagi memberi kemudahan kepada golongan memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 6:39 PM