GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan terbesar sebanyak RM50.4 bilion iaitu 15.6 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2021.

Belanjawan 2021 ini juga memperlihatkan komitmen kerajaan dalam meletakkan pendidikan sebagai pelaburan paling penting dalam memastikan kualiti kehidupan lebih baik untuk generasi akan datang.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata, pelbagai cadangan yang dibawa KPM dipersetujui kerajaan dalam belanjawan kali ini.

"Alhamdulillah, pelbagai cadangan yang dibawa KPM dipersetujui kerajaan. KPM adalah kementerian yang mendapat peruntukan terbesar sebanyak RM50.4 bilion.

"Ayuh, sama-samalah kita terus bangunkan pendidikan negara demi untuk generasi pewaris kita," katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.


Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan menyifatkan Belanjawan 2021 memberikan manfaat kepada sektor pendidikan dan memastikan tiada murid yang ketinggalan mendapat akses pendidikan yang baik.

Katanya, dengan peruntukan besar kepada sektor pendidikan terutama menangani isu infrastruktur di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan termasuk sekolah daif.


"iGuru berharap peruntukan ini dapat meningkatkan kecemerlangan sekolah di luar bandar dan sekaligus kemudahan fasiliti ini dapat memperkasa sekolah kebangsaan termasuk juga bantuan untuk pendidikan khas bagi memastikan semua murid mendapat akses pendidikan yang baik.

"Kita juga berterima kasih dengan insentif program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) setiap hari yang akan memberikan manfaat kepada murid yang diharap dapat meningkatkan kualiti minda murid dengan bekalan nutrisi baik yang akan menjamin perkembangan otak yang sihat untuk menerima proses pembelajaran di sekolah," katanya.


Menurutnya, insentif RM180 untuk keluarga berpendapatan bawah 40 (B40) bagi tujuan akses internet dan alat peranti pintar akan membantu murid tidak keciciran dalam proses pembelajaran.

"Kita juga berharap inisiatif Jendela dapat meningkatkan utiliti internet dan memberi manfaat kepada 430 sekolah.

"Belanjawan inklusif dan prihatin ini diharap membantu meningkatkan akademik anak luar bandar untuk lebih cemerlang," katanya.


Selain itu, pakar pendidikan, Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata, beliau mengharapkan belanjawan kali ini dapat mengurangkan impak Covid-19 ke atas pendidikan, sekolah, pelajar, murid dan ibu bapa.

"Semua peruntukan berdasarkan norma lama, tiada norma baharu. Kita tidak pasti sehingga bila akan berakhirnya situasi Covid-19 ini dan sehingga bila pelajar perlu melalui kelas dalam talian.

"Sepatutnya Belanjawan 2021 fokus kepada norma baharu ini, jika dibiarkan jurang digital akan membesar lagi dan bagaimana mereka daripada golongan B40 yang serba kekurangan akan meneruskan pembelajaran tanpa akses internet dan komputer," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 7:22 PM