FADHLINA (tengah) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali (tiga kiri) mendengar taklimat berhubung bangunan tidak selamat dan ancaman banjir di SK Pekan Kinarut, Papar. FOTO Izwan Abdullah
FADHLINA (tengah) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali (tiga kiri) mendengar taklimat berhubung bangunan tidak selamat dan ancaman banjir di SK Pekan Kinarut, Papar. FOTO Izwan Abdullah
Izwan Abdullah

Papar: Peruntukan berjumlah RM900 juta disediakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengatasi masalah sekolah daif dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan berkenaan adalah untuk 380 sekolah daif di seluruh negara.

Menurutnya, KPM akan melihat semula senarai sekolah daif di Sabah dan Sarawak berikutan kebanyakan masalah itu dihadapi di kedua-dua negeri berkenaan.

"Secara keseluruhan, kita ada (peruntukan) RM900 juta untuk semua sekolah, bukan Sabah dan Sarawak saja. Tapi kita akan tengok balik Sabah dan Sarawak. Sabah adalah antara yang terbanyak (sekolah daif)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau masalah bangunan tidak selamat dan ancaman banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kinarut, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 itu, Anwar dipetika berkata, sebanyak RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah termasuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

Sementara itu, Fadhlina berkata, sejak 2016 sehingga kini, sebanyak 980 sekolah daif disenaraikan di seluruh negara dan 380 daripadanya ditumpukan pada belanjawan tahun ini.

Di Sabah, katanya daerah Ranau merekodkan paling banyak sekolah daif iaitu 44 sekolah, manakala lapan sekolah daif dikenal pasti di daerah Papar.

Menurutnya, kebanyakan bangunan di sekolah daif terbabit berada pada skala enam dan tujuh yang bermaksud tidak selamat diduduki.

"Dalam kes bangunan tidak selamat diduduki ini, tindakan kita ialah memindahkan murid ke bangunan yang disediakan.

"Bangunan yang daif itu pula akan diselenggara tetapi bagi yang berada pada skala enam dan tujuh, bangunannya perlu diganti.

"Ia berbeza dengan bangunan usang kerana ada yang usang, tapi tidak daif dan masih boleh digunakan, manakala daif bermakna murid perlu dikeluarkan dari bangunan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 1:38 PM