Beruang matahari yang ditangkap selepas tersesat di Yan dan menggigit tangan anggota Bomba pada 2 Februari lalu akhirnya dilepaskan ke habitat asal. FOTO Ihsan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Negara Sungkai.
Beruang matahari yang ditangkap selepas tersesat di Yan dan menggigit tangan anggota Bomba pada 2 Februari lalu akhirnya dilepaskan ke habitat asal. FOTO Ihsan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Negara Sungkai.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Selepas hanya sehari berpantang dan menerima rawatan perubatan, beruang matahari yang ditangkap selepas menggigit tangan kiri anggota bomba di Kampung Selengkoh Tengah, Sungai Limau di Yan pada 2 Februari lalu, akhirnya dilepaskan semula ke habitatnya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, ia dilepaskan pada 3 Februari lalu selepas doktor haiwan mengesahkan beruang jantan seberat 90 kilogram (kg) itu berada dalam keadaan sihat.

Bagaimanapun, beliau berkata lokasi sebenar di mana beruang itu dilepaskan tidak dapat didedahkan kerana dasar pemuliharaan haiwan.

"Kami sudah pun berhubung dengan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, mereka mempunyai doktor haiwan mereka sendiri dan beruang itu tidak akan dilepaskan jika ia tidak bersedia untuk hidupan liar.

"Kami tidak dapat memberitahu di mana kami melepaskannya, itu adalah polisi kami di sini, tetapi kami boleh memberi jaminan kepada semua orang bahawa beruang itu sememangnya dalam keadaan sihat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jamalul Nasir turut mengesahkan bahawa beruang matahari itu berusia kira-kira sembilan tahun dan tidak dipelihara sebagai haiwan peliharaan eksotik oleh sesiapa pun.

Beliau berkata bahawa spesies itu, secara saintifik dikenali sebagai helarctos malayanus, sangat terancam akibat penebangan hutan yang berleluasa dan diburu oleh pemburu haram.

"Kami tidak mempunyai data tepat untuk bilangan beruang matahari yang tinggal di alam liar di Kedah, tetapi ia adalah spesies terancam kritikal.

Sementara itu, Jamalul Nasir turut menyuarakan kebimbangannya mengenai kekerapan kes haiwan liar secara tidak sengaja merayau ke kawasan manusia sejak kebelakangan ini.

"Sukar untuk menunjukkan 'hotspot' khusus untuk kes sebegini kerana ini benar-benar berlaku di mana-mana di negeri ini, tetapi Sik dan Baling mencatatkan paling banyak kes.

"Penebangan hutan menyebabkan banyak haiwan kehilangan habitat, bukan sahaja di Kedah tetapi di seluruh negara," katanya.

Pada 2 Februari lalu, beruang matahari yang sudah dewasa itu menyerang anggota bomba, Mohd Nizam Hamid, 27, sewaktu operasi menangkapnya selepas dipercayai merayau ke Kampung Selengkoh Tengah di Sungai Limau, Yan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 3:20 PM