BERUANG matahari berjaya diperangkap di belakang rumah pengusaha madu kelulut, Mustapa Tahir, 76, di Felda Belara, Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan.
BERUANG matahari berjaya diperangkap di belakang rumah pengusaha madu kelulut, Mustapa Tahir, 76, di Felda Belara, Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan.
Hanneeyzah Bariah Baharin


PENGUSAHA madu kelulut di Felda Belara, Kuala Terengganu, kerugian hampir RM10,000 selepas 19 daripada 20 sarang madu miliknya musnah dimakan beruang matahari yang masuk ke kampung berkenaan.

Mustapa Tahir, 76, yang menyedari beruang berkenaan masuk ke dalam perangkap sejak 9.30 malam tadi berkata, hanya satu sarang madu berkenaan selamat daripada dimakan haiwan berkenaan yang mula masuk ke kampung itu sejak dua minggu lalu.

Beliau berkata, ketika menyedari beruang matahari yang juga dikenali sebagai beruang anjing itu memasuki perangkap malam tadi, beliau tidak berani keluar rumah dan hanya meninjau perangkap berkenaan pagi tadi sebelum memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri.

“Saya dengar bunyi beruang itu sejak malam tadi, tetapi tidak berani keluar rumah. Pagi tadi baru saya pergi jenguk dan lihat seekor beruang itu sudah masuk perangkap.

“PERHILITAN baru mengalihkan perangkap ini ke belakang rumah saya semalam, iaitu pada jarak kira-kira 100 meter dari lokasi asal ia diletakkan sejak dua minggu lalu untuk memerangkap beruang ini.

“Umpan madu diletakkan PERHIILITAN dalam perangkap ini memang menjadi kerana madu antara makanan kegemaran beruang matahari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Belara.

Mustapa berkata, beliau sedih kerana 19 sarang madu kelulut diusahakannya di belakang rumah yang setiap satu dianggarkan berharga RM500 musnah dimakan haiwan berkuku tajam itu.

Katanya, walaupun seekor beruang itu sudah ditangkap, penduduk masih bimbang keselamatan mereka kerana ada penduduk memaklumkan jumlah beruang yang masuk ke kampung itu adalah tiga ekor.

“Jadi satu sudah ditangkap, masih ada dua lagi entah tak tahu sembunyi di mana. Ada penduduk sempat ambil gambar tiga beruang itu.

“Kita bimbang keselamatan terutama kanak-kanak sekiranya diserang beruang ini kerana kukunya sangat tajam dan boleh mencederakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof, berkata pihaknya akan terus memasang perangkap itu sehingga berjaya menangkap dua lagi beruang yang dikatakan masih berada di dalam kawasan penempatan itu.

Beliau menasihatkan penduduk supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada terutama sepanjang berada di luar rumah.

Katanya, pihaknya memasang perangkap untuk menangkap beruang berkenaan yang juga dikenali sebagai beruang anjing sejak dua minggu lalu selepas menerima aduan penduduk yang ternampak beruang itu berlegar di kawasan perkampungan itu.

“Beruang matahari ini merbahaya dan boleh mencederakan sekiranya berasa terancam kerana ia mempunyai kuku tajam, menyebabkan penduduk bimbang keselamatan mereka.

“Kami akan lakukan pemeriksaan kesihatan beruang berkenaan dan sekiranya ia disahkan sihat, ia akan dilepaskan ke Taman Negara.

“Bagaimanapun jika sebaliknya, kami akan hantar beruang matahari ini ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan dan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 8:18 PM