Beruang matahari yang dipercayai tersesat dan menggigit anggota PBB Yan di kawasan sawah berhampiran Kampung Selarong Tengah. FOTO IHSAN BOMBA
Beruang matahari yang dipercayai tersesat dan menggigit anggota PBB Yan di kawasan sawah berhampiran Kampung Selarong Tengah. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Beruang matahari yang dipercayai menggigit seorang anggota bomba bantuan di Kampung Selengkoh Tengah, Yan hari ini akhirnya berjaya ditangkap.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, beruang betina seberat 90 kilogram (kg) ditangkap pada jam 12.50 tengahari tadi menggunakan pelali.

Beliau berkata, beruang itu dipercayai datang dari kawasan Gunung Jerai dan tersesat masuk ke kawasan kampung di situ.

"Kita percaya beruang matahari itu keluar dari hutan Gunung Jerai dan apabila hendak pulang semula, ia mungkin tersesat.

"Ia akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jamalun Nasir turut menasihatkan orang ramai yang ternampak beruang seperti supaya tidak mendekatinya kerana ia nampak jinak tetapi boleh membahayakan.

Katanya, dalam kejadian pagi tadi, seorang anggota bomba bantuan dari BBP Yan cedera di pergelangan tangan kiri akibat digigit.

Dalam kejadian hari ini, seorang anggota bomba bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan cedera di pergelangan tangan kiri selepas digigit seekor beruang di kawasan sawah di Kampung Selengkoh Tengah di sini, hari ini.

Anggota bomba terbabit, Mohd Nizam Hamid, 27, kini dirawat di Hospital Yan (HY) akibat kecederaan serius namun keadaannya stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 2:01 PM