MOHD Fairuz dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen kerana merompak warga Myanmar. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Fairuz dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen kerana merompak warga Myanmar. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ZatulIffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Peminta sedekah dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana merompak warga Myanmar.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Fairuz Embong, 41, didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak harta iaitu wang tunai berjumlah RM518, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) milik warga asing.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus, jam 6.20 petang pada 11 Mei 2021.

Tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 14 Mei 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 5:55 PM