GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang peniaga restoran dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meliwat kanak-kanak perempuan, dua tahun lalu.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 58 tahun didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia tujuh tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Kuala Nerus, jam 7 malam pada 23 Februari 2021.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman terhadap tertuduh dengan jaminan RM23,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin dan Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 4:16 PM