Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Juruteknik dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak warga Bangladesh dan menyamar sebagai polis.

Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Saiful Ridzuan Ibrahim, 31, mengaku salah terhadap dua pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Saiful Ridzuan didakwa merompak wang tunai RM150 milik lelaki warga Bangladesh berusia 32 tahun di tepi jalan, Jalan Kuala Berang, Kampung Binjai Rendah, di sini pada 8 pagi, 6 September lalu.

Tertuduh turut didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis dengan cara menahan dan menyuruh mangsa menaiki kenderaan di tepi Jalan Pejabat, di sini pada 7.30 pagi, hari sama.

Bagi kesalahan merompak, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dijatuhi hukuman penjara lima tahun, manakala mahkamah memutuskan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 170 kanun.

Nooriah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 22 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Saiful Ridzuan dijatuhi hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merompak warga Bangladesh dan menyamar sebagai polis. FOTO GHAZALI KORI
Saiful Ridzuan dijatuhi hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merompak warga Bangladesh dan menyamar sebagai polis. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 2:29 PM