KABEL yang ditemui dalam lori dipandu suspek. FOTO ihsan polis
KABEL yang ditemui dalam lori dipandu suspek. FOTO ihsan polis
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Pencuri kabel nekad terjun ke dalam tasik bagi mengelakkan ditahan polis selepas melarikan diri sejauh hampir 30 kilometer (km) di Jalan SP 6/2 Bandar Saujana Putra, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek yang memandu sebuah lori dikesan anggota bertugas berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar Sungai Chua, di sini pada jam 3.30 pagi.

Menurutnya, ketika cuba ditahan anggota bertugas, suspek cuba meloloskan diri dan bertindak memecut laju menuju ke arah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

"Anggota bertugas sekali lagi cuba menghentikan lori berkenaan tetapi dihalang oleh suspek dengan melakukan aksi bahaya bergerak ke kiri kanan jalan.

"Pasukan polis terus mengekori suspek sehingga di Plaza Tol Ayer Hitam namun suspek tidak berhenti malah melanggar palang tol seterusnya meneruskan perjalanan ke arah Banting sehingga susur keluar ke Saujana Putra," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, suspek yang berusia 34 tahun itu sekali lagi melanggar palang di Plaza Tol Saujana Putra dan menuju ke Jalan Saujana Putra sebelum melanggar beberapa kenderaan awam yang diletakkan di bahu jalan.

"Lori dipandu suspek akhirnya berjaya ditahan di Jalan SP 6/2 Bandar Saujana Putra. Suspek cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam tasik berhampiran namun berjaya ditahan dengan bantuan orang awam.

"Pemeriksaan menemui 25 kabel yang dipotong dipercayai dicuri dan beberapa alat memotong kabel di dalam lori dipandu suspek," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ujian urin didapati positif dadah jenis methamphetamin.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Wan Noorhasmizan Wan Asri di talian 0129548532 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 8:22 PM