GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Ampang: Dua penunggang motosikal ditahan selepas melanggar anggota polis ketika cuba mengelak daripada pemeriksaan trafik menerusi sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Pandan Indah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, seorang suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR bertindak agresif ketika ditahan.

"Semasa anggota bertugas menghampiri motosikal jenis Yamaha Y15ZR, tiba-tiba suspek memulas minyak untuk melarikan diri dari sekatan lalu melanggar anggota bertugas menyebabkan suspek terbabas ke bahu jalan dan terjatuh.

"Manakala seorang lagi suspek yang menaiki Suzuki Axelo pula tidak memberi kerjasama semasa pemeriksaan badan dan pemeriksaan motosikal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota yang dilanggar bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-duanya suspek ditahan kerana menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya suspek cuba melarikan diri kerana memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh.

"Anggota bertugas menahan dua lelaki tempatan berusia 27 dan 38 tahun serta tindakan saman dikeluarkan kepada kedua-dua individu terbabit.

"Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Balai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ampang Jaya untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohd Azam berkata, ujian saringan air kencing kedua-duanya suspek didapati negatif dadah manakala semakan kes lampau mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai 12 rekod jenayah.

Katanya, kedua-dua suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada pihak polis semasa pemeriksaan dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 2:09 PM