TINJAUAN jalan berlubang yang menyebabkan kemalangan di persimpangan Banyan Close, Bangi. FOTO Saifullizan Tamadi
TINJAUAN jalan berlubang yang menyebabkan kemalangan di persimpangan Banyan Close, Bangi. FOTO Saifullizan Tamadi
Sudirman Mohd Tahir

Bangi: "Masalah jalan rosak dan berlubang ini bagai tidak berkesudahan. Hari ini turap atau tampal, dua bulan kemudian akan rosak semula. Mungkin selagi tidak ada kemalangan jiwa, tiada penyelesaian diambil."

Demikian keluhan penduduk, Ridzhan Husin, 31, apabila keadaan jalan di beberapa kawasan di sekitar Bukit Mahkota, di sini, berada dalam keadaan teruk akibat rosak.

Rizhan berkata, dia mendapati situasi itu masih tidak berubah sejak tiga tahun menetap di kawasan berkenaan.

Menurutnya, masalah jalan rosak dan berlubang sudah berlarutan lama iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

"Ada banyak jalan di kawasan ini yang rosak dan berlubang. Kalau ada kerja-kerja pembaikan jalan pun, tidak lama selepas itu akan rosak semula.

"Sampai tak tahu nak lapor kepada siapa lagi. Tempoh hari, sebelum dan selepas PRU-15 ada juga wakil rakyat datang, tetapi selepas itu, jadi (rosak) balik. Walaupun banyak lori lalu, pada saya ia bukan faktor utama, tapi kualiti tar yang digunakan," katanya.

Pekerja swasta, Ramza Eizad Abdul Rahman, 42, berkata keadaan jalan yang selalu rosak dan berlubang itu menyusahkan pengguna.

"Masalah ini memang dah lama sangat dan sering berulang. Kalau tampal pun tetap berlubang dan rosak. Memang tak pernah cantiklah.

"Sejujurnya, ia memang menyusahkan pengguna. Apatah lagi kalau hari bekerja dan waktu puncak, jalan sesak dibuatnya sebab orang perlahankan kenderaan," katanya.

Penghantar makanan Mohd Marzaariff Maarof, 32, berkata keadaan jalan yang rosak termasuk berlubang secara tidak langsung membahayakan penunggang motosikal seperti dirinya.

"Macam saya dan penunggang motosikal lain yang setiap hari lalu di kawasan ini, memang menyusahkan dan boleh membahayakan keselamatan kami.

"Ini laluan utama, tapi tidak ada sekatan untuk lori. Bukan saja di kawasan Bukit Mahkota ini, tapi jalan di sekitar Bandar Seri Putra memang banyak jalan rosak. Seolah-olah jalan tak ada penyelenggaraan. Patut ada (pihak berkaitan) yang pantau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 3:12 PM