Gambar hiasan
Gambar hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Subang: Tidak sampai 24 jam melakukan rompakan di sebuah rumah di USJ 9, membabitkan kerugian lebih RM7,000, dua penjenayah diberkas polis di lokasi berasingan semalam.

Lelaki berusia 31 tahun dan wanita berusia 26 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hasil siasatan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pada mulanya polis menerima laporan daripada seorang wanita mendakwa rumah dipecah masuk perompak.

"Dalam kejadian 3.30 pagi, wanita berusia 43 tahun itu sedang tidur sebelum dikejutkan seorang lelaki yang mengacukan parang dan mengikat tangan mangsa dengan wayar pengecas telefon.

"Suspek turut mengikat tangan ayah pengadu dan membawa mereka turun ke tingkat bawah rumah.

"Rakan suspek iaitu seorang wanita menunggu di tingkat bawah dan turut mengikat pembantu rumah dengan wayar seterika," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek menggeledah rumah dan mengambil barangan berharga seperti barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai membabitkan kerugian RM7,000 sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki.

"Hasil siasatan mendapati suspek yang memakai pelitup muka dan sarung tangan memanjat tembok rumah serta masuk melalui tingkap terbuka di tingkat atas," katanya.

Katanya, polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran.

Wan Azlan berkata, sepasukan polis yang menjalankan siasatan membuat dua serbuan di kawasan Klang dan Kuala Langat serta menahan kedua-dua suspek selain merampas pelbagai barangan termasuk kereta digunakan semasa melakukan rompakan.

Tambahnya, polis percaya berjaya menyelesaikan kes samun bersenjata dan kes pecah rumah di daerah berkenaan susulan penahanan suspek itu.

Kata beliau, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman hari ini, bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor S Anthony John di talian 016-2093470 atau Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 12:51 PM