Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Subang Jaya: Kegiatan empat lelaki melakukan samun jalanan yang mensasarkan mangsa warga asing berakhir semalam apabila mereka ditahan dalam serbuan berasingan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita warga Myanmar berusia 20 tahun jam 10 pagi kelmarin yang disamun suspek ketika berjalan pulang ke rumah di Bukit Puchong, di sini.

Menurutnya, mangsa didatangi empat lelaki menaiki dua motosikal sebelum salah seorang mereka turun dan menarik beg silang mangsa.

"Berlaku pergelutan dan tarik menarik sebelum mangsa ditolak sehingga jatuh.

"Suspek mengambil beg silang mangsa dan melarikan diri sementara wanita terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan menyebabkan dia kerugian RM500 selepas kehilangan dokumen perjalanan, kad bank, wang tunai, telefon bimbit dan kunci rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya membuat lima serbuan berasingan di sekitar kawasan Subang Jaya, Serdang dan Petaling Jaya semalam.

"Empat lelaki berusia 20-an ditahan serta merampas dua motosikal dan sembilan unit telefon bimbit termasuk telefon bimbit milik pengadu di dalam kes ini.

"Hasil daripada tangkapan dan rampasan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan enam kes samun jalanan di mana modus operandi adalah melakukan samun jalanan terhadap warganegara asing di tepi jalan," katanya.

Beliau berkata, suspek direman lima hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 3:37 PM