Datuk Seri Dr Noraini Ahmad
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengesahkan akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan sayap berkenaan, bulan hadapan.

Sumber rapat dengan bekas Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, hasrat Noraini mempertahankan jawatannya itu sudah dinyatakan kepada pimpinan sayap dan negeri baru-baru ini.

"Ya, Noraini sudah menetapkan pendirian untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan sayap itu nanti.

"Ia sekali gus menafikan dakwaan yang kononnya beliau tiada sokongan dan akan berundur.

"Pimpinan sayap pusat dan negeri juga sudah dimaklumkan (Noraini pertahan jawatan) selepas isu pertandingan jawatan itu hangat sehari dua ini.

"Noraini akan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mempertahankan jawatannya itu dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan lebih separuh Ketua Wanita Umno Bahagian di seluruh negara menggesa supaya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajui kepimpinan wanita parti itu.

Ketua Wanita Umno Kota Melaka Datuk Haryaty Hamdzah mendakwa seramai 147 Ketua Wanita Umno Bahagian membuat keputusan itu dalam satu pertemuan dengan Shahrizat baru-baru ini.

Haryaty dilaporkan berkata, reputasi dan legasi Shahrizat ketka menjadi menteri pertama di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditinggalkan sebelum ini amat berkesan dan banyak kejayaan yang dihasilkannya.

Selain Noraini, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Norliza Abdul Rahim juga dilaporkam akan memberi saingan ketika ura-ura mendakwa Shahrizat yang juga bekas peneraju sayap itu, akan kembali bersaing merebut jawatan berkenaan.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac hadapan.

Sementara itu, Exco Wanita Umno Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menemplak dakwaan yang mendakwa 147 Ketua Wanita Umno Bahagian mahukan Shahrizat kembali memimpin sayap berkenaan.

"Sesiapa boleh buat kenyataan termasuk menyatakan semua 191 Ketua Wanita Umno Bahagian seluruh negara menyokong mereka.

"Dalam keadaan sekarang ini adalah tidak wajar untuk kita memecah belahkan Wanita Umno sedangkan Shahrizat sendiri yang memberi laluan kepada Noraini bagi memimpin sayap parti.

"Sudahkah Shahrizat lupa beliau sendiri menyatakan mahu melihat perubahan dan pembaharuan dan mahu ketua wanita yang mampu membawa cara dan idea baharu, ketika mengumumkan tidak mempertahankan jawatan lima tahun lalu.

"Kita kena 'move on' lah patutnya. kita akui jasa besar Shahrizat dalam parti namun beliau juga harus menghormati keinginan akar umbi sayap.

"Beliau seharusnya berperanan sebagai penasihat dan penenang kepada Wanita Umno bukan sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 3:22 PM