SHAHRIZAT mengisi borang pencalonan jawatan Ketua Wanita Umno. FOTO Facebook.
SHAHRIZAT mengisi borang pencalonan jawatan Ketua Wanita Umno. FOTO Facebook.
Wartawan NSTP


Kuala Lumpur : Bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil secara rasminya bertanding semula merebut jawatan dalam pemilihan parti itu.

Shahrizat, yang pernah menerajui sayap Umno itu antara 2008 hingga 2018, menyerahkan kertas pencalonannya hari ini di ibu pejabat Umno, di sini.

Bercakap kepada media, Shahrizat berkata visinya adalah untuk memperkukuh Wanita Umno dan melebarkan sayapnya.

"Kita harus lebih inklusif dan kita perlu di anggap sebagai ibu negara untuk setiap rakyat seperti yang kita ada selama bertahun-tahun.

"Wanita perlu menjadi pengubah permainan semula. Kita mesti memenangi hati dan minda negara sekali lagi," katanya.

Shahrizat berkata kemunculan semula beliau ke arena politik adalah susulan permintaan dari penyokongnya, yang menyerunya untuk membuat kemunculan semula.

Sebelum ini media melaporkan seramai 147 ketua Wanita Umno bahagian di seluruh negara menggesa Shahrizat menerajui sayap wanita parti itu memandangkan legasi dan reputasi bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu kekal walaupun selepas bersara daripada politik.

Ketua Wanita Umno Bahagian Kota Melaka Datuk Haryaty Hamdzah berkata keputusan kolektif itu dibuat semasa pertemuan dengan Shahrizat baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 4:10 PM