Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menolak kemungkinan menggunakan saluran perundangan jika permohonan untuk membatalkan perintah pembekuan akaun parti tidak diluluskan.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sehingga kini beliau belum menerima sebarang perkembangan susulan permohonan itu yang dihantar Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad Faizal menjangkakan sebarang perkembangan mengenai perkara itu bakal diketahui seawal Selasa, berikutan esok cuti umum gantian.

"Tentunya perkara-perkara seperti ini (platform perundangan) akan kami bincangkan dengan pucuk pimpinan termasuk bersama Presiden untuk tindakan sewajarnya," katanya yang ditemui media pada program Kenduri Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Tambun di pekarangan pasar raya Mydin, Manjoi di sini, hari ini.

Menurutnya, surat pembekuan akaun Bersatu kepada SPRM dihantar pada Khamis lalu.

Ahmad Faizal berkata, ketika ini pembekuan akaun itu memberi kesan sangat besar kepada parti terutama membabitkan soal pembayaran gaji kakitangan yang secara tidak langsung memberi impak berantai kepada keluarga pekerja.

Dalam pada itu, katanya, tiada keperluan untuk beliau menjawab secara terperinci kepada umum mengenai sumber wang diterima parti dan menyerahkan kepada siasatan SPRM.

Terdahulu, media melaporkan Bersatu akan menghantar surat kepada SPRM untuk meminta supaya siasatan disegerakan dengan perintah pembekuan akaun dibatalkan bagi membolehkan parti itu bergerak seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 3:25 PM
Ahmad Faizal ketika menghadiri program Kenduri Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Tambun di perkarangan pasaraya Mydin Manjoi. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Ahmad Faizal ketika menghadiri program Kenduri Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Tambun di perkarangan pasaraya Mydin Manjoi. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI