GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rizanizam Abdul Hamid


TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun UMNO termasuk akaun UMNO Pusat bukan sesuatu yang aneh malah mengikut proses biasa undang-undang.

Bekas Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata, beliau percaya badan bebas tanpa dipengaruhi kerajaan itu mempunyai asas untuk bertindak sedemikian untuk memudahkan proses siasatan.

“Adalah tidak munasabah menuduh SPRM melampau kerana setahu saya sehingga ke hari ini SPRM adalah badan bebas yang tak ada campur tangan mana-mana pihak.

“Perkara ini biasa dilakukan dan bukanlah dibuat sesuka hati sebagaimana kita lihat banyak berita sudah dilaporkan media tentang proses siasatan sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika dihubungi NSTP di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang mendedahkan SPRM membekukan akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor, sehari selepas beliau mengumumkan agihan dana kepada UMNO negeri dan bahagian.

Ahmad Zahid turut mendakwa Menteri Dalam Negeri juga hampir pasti meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran UMNO dalam tempoh terdekat.

Hari ini, Pergerakan Pemuda UMNO turut mendesak SPRM menarik balik tindakan pembekuan akaun parti itu yang disifatkan sebagai tindakan melampau oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataannya berkata, SPRM seharusnya dapat memberikan justifikasi yang jelas, telus dan terbuka mengenai punca sebenar akaun UMNO dibekukan.

Mengulas lanjut Mohd Tap berkata, SPRM boleh membekukan mana-mana akaun bank mengikut peraturan undang-undang sekiranya mempunyai asas atau syak wasangka.

“Mereka boleh bekukan akaun supaya mudahkan siasatan dan ini bukanlah perkara aneh kerana kebiasaannya begitulah prosesnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 1:22 PM