AHMAD Faizal Azumu.
AHMAD Faizal Azumu.
Balqis Jazimah Zahari


MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau akan memikul amanah sebagai Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebaik mungkin bagi memperkukuhkan parti dalam berdepan sebarang kemungkinan pada masa akan datang.

Ahmad Faizal berkata, ia bukan satu perkara yang perlu dibanggakan sebaliknya satu komitmen yang perlu dijalankan.

"Ini satu amanah dan tentunya perkara ini (jawatan Timbalan Presiden Bersatu) adalah datangnya daripada izin Allah SWT.

"Saya cuma dapat memberikan komitmen untuk menjalankan amanah ini sebaik mungkin, dan paling penting mempersiapkan parti bagi menghadapi apa juga kemungkinan sama ada pilihan raya dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga mendiang Ketua Pemuda DHPP Perak, Youghan Mahalingam di Hala Taman Tambun 1, Taman Tambun, Ipoh hari ini.

Ahmad Faizal berkata, ia akan memberikan kekuatan kepada Presiden yang juga Perdana Menteri dalam mengetuai pentadbiran di peringkat parti dan kerajaan.

"Diberitakan semalam cuma ada satu calon tunggal bagi jawatan berkenaan dan ini membolehkan saya dinamakan sebagai Timbalan presiden apabila tiba masanya nanti.

"Harapan saya sewaktu menawarkan diri (jawatan Timbalan Presiden) adalah untuk memberi kerjasama dan sokongan padu pada Presiden," katanya.

Mengulas mengenai jawatan Pengerusi parti yang masih kosong, Ahmad Faizal berkata:

"Ramai yang mengatakan dia (Tun Mahathir) dipecat, tetapi tiada pemecatan berlaku sebaliknya ia gugur secara automatik selepas beliau melanggari perlembagaan parti," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, berkenaan situasi Bersatu di Perak ketika ini dalam keadaan cukup baik dan stabil.

"Majoriti ahli Bersatu memberi sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, saya melihat lebih ramai yang berminat hendak menjadi ahli Bersatu," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, Perikatan Nasional (PN) Perak belum mengadakan perbincangan berkaitan kemungkinan akan berlakunya Pilihan raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, Rabu lalu.

"Kita belum mengadakan perbincangan dengan komponen PN, namun apabila ada perbincangan dan keputusan dibuat nanti, kesemua parti komponen PN akan memberi sokongan penuh kepada sebarang keputusan," katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Berdasarkan senarai calon layak bertanding dalam Pemilihan Bersatu yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) hari ini, hanya nama Muhyiddin yang juga Perdana Menteri dan Ahmad Faizal, Menteri Besar Perak menjadi calon bagi mengisi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 11:47 AM