GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Seorang ahli politik bergelar Datuk didakwa mencabul isteri rakan baiknya di rumah wanita itu di Taman Bukit Melawati, di sini, pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima laporan kejadian daripada mangsa berusia 48 tahun pada Selasa lalu.

Menurutnya, wanita itu mendakwa suspek berusia 50-an bersama isterinya berkunjung dan turut bermalam di rumahnya sekitar Julai dan Ogos tahun lalu.

"Pada awal pagi, semasa mangsa sedang tidur di ruang tamu tiba-tiba dia tersedar apabila merasai bahagian badannya disentuh seseorang.

"Suspek yang menyedari mangsa tersedar daripada tidur terus beredar pulang bersama isterinya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, selepas kejadian itu mangsa tidak membuat laporan polis kerana takut dan bimbang akan merosakkan hubungan mereka, selain suspek adalah ahli politik berpengaruh di sebuah negeri di Pantai Timur.

Bagaimanapun katanya, mangsa kemudian nekad untuk membuat laporan polis pada Selasa lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 2:07 PM