Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: UMNO hari ini mengisytiharkan tempoh bertenang berhubung kemelut politik yang melanda Sabah bagi membolehkan satu penyelesaian dapat dicapai.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun tidak menjelaskan berapa lama tempoh bertenang itu, selain menyatakan perkara itu sebagai sesuatu yang subjektif.

Beliau turut memohon supaya sepanjang tempoh bertenang beliau tiada lagi spekulasi atau kenyataan bercanggah yang dibuat sama ada di pihak UMNO dan Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Sebentar tadi, kami mengadakan mesyuarat khas perhubungan UMNO Sabah dan perbincangan diadakan dengan cukup terbuka berhubung kedinamikan politik Sabah.

"Kita mengambil tempoh bertenang dalam menangani polemik atau kemelut di Sabah dari segi politik kerana kami berpandangan tiada perkara atau isu yang tidak boleh diselesaikan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan timbalannya, Datuk Yakub Khan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO boleh duduk berbincang secara tertutup untuk mencari penyelesian dalam apa situasi sekalipun.

"Banyak pendekatan boleh kita ambil dan juga kaedah kita susun atur namun kita faham penyelesaian ini perlu persefahaman UMNO dengan rakan politik lain.

"Dalam hal ini kita beri keutamaan kepada agenda rakyat Sabah dan beri pencerahan terhadap kekeliruan yang berlaku.

"Saya yakin bahawa keberadaan saya ini adalah satu isyarat bahawa kepemimpinan parti di pusat tidak pernah mengambil ringan terhadap perkara yang berlaku di Sabah.

"Saya mengambil inisiatif sendiri menangani perkara ini," katanya.

Kemelut politik Sabah tercetus awal bulan ini berikutan cubaan UMNO Sabah dan Parti Warisan (WARISAN) menukar kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

AHMAD Zahid (duduk, kanan) pada sidang media selepas mesyuarat khas. FOTO Mohd Adam Arinin
AHMAD Zahid (duduk, kanan) pada sidang media selepas mesyuarat khas. FOTO Mohd Adam Arinin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 4:21 PM