Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terpulang kepada pemimpin Sabah sendiri untuk membuat keputusan berhubung kemelut politik yang berlaku di negeri ini.

Perdana Menteri, berkata beliau hanya mampu memberi nasihat berhubung perkara itu, namun menyifatkan keadaan kini sudah bertambah baik.

Katanya, beliau dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencari formula yang baik untuk Sabah bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

"Keadaan bertambah baik. Saya dan Zahid cari formula baik untuk Sabah dan keputusannya akan diputuskan oleh pimpinan Sabah sendiri.

"Sebenarnya kita hanya mampu memberi nasihat," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan pemimpin politik Sabah di Magellan Sutera, di sini, malam tadi.

Hadir sama Ahmad Zahid dan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pertemuan tertutup itu dihadiri pemimpin utama parti politik di Sabah.

Perdana Menteri tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini pada jam 10 malam tadi untuk mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Sabah berhubung kemelut politik yang berlaku di negeri ini.

Beliau yang baru balik dari lawatan kerja dua hari di Jakarta terus ke Sabah untuk bertemu Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan pemimpin lain dipercayai bagi menyelesaikan kemelut politik yang tercetus sejak beberapa hari lalu.

Beliau selepas itu ke kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya untuk bertemu pemimpin Gabungan Rakyat Sabah.

ANWAR mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Ankara. FOTO Facebook.
ANWAR mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Ankara. FOTO Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 12:06 AM