Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan Perpaduan di Sabah tidak sukar dibentuk seperti mana dilaksanakan Kerajaan Pusat ketika ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pembentukan kerajaan baharu di Sabah membabitkan semua parti yang ada dalam Kerajaan Pusat boleh dilaksanakan melalui kerjasama dan persepakatan semua pihak.

"Saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) bersetuju bahawa perlu ada tempoh bertenang, tapi dalam keadaan bertenang ini pun masih ada perkara berlaku.

"Apa yang penting matlamat Datuk Seri Anwar bagi menyarankan mewujudkan kerajaan perpaduan di Sabah yang akan membabitkan semua parti yang ada dalam kerajaan peringkat Pusat.

"Di Sabah tak begitu sukar untuk Kerajaan Perpaduan diwujudkan tapi soal penerimaan itu aspek kita harus santuni terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sembang Santai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Media di Menara Kuala Lumpur di sini, hari ini.

AHMAD Zahid ketika Majlis Sembang Santai Bersama Media di Menara Kuala Lumpur. Turut hadir, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit. FOTO Asyraf Hamzah.
AHMAD Zahid ketika Majlis Sembang Santai Bersama Media di Menara Kuala Lumpur. Turut hadir, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit. FOTO Asyraf Hamzah.

Semalam, beliau bersama Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di The Magellan Sutera, Sabah, bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri berkenaan.

Susulan penemuan itu, Anwar yang ditemui media dilaporkan berkata, beliau merestui Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Beliau dipetik berkata, pihaknya mahu Kerajaan Sabah yang kuat bawah kepemimpinan Hajiji.

Mengulas lanjut mengenai kemelut di Sabah itu, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin rakyat Sabah tidak mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan semula sebaliknya mahu permasalahan rakyat terus menjadi fokus utama kerajaan.

Katanya, demokrasi tidak hanya melalui pilihan raya namun persepakatan antara parti politik untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat harus diterjemah dan dilaksanakan

"Bagi tempoh berbaki dua tahun setengah untuk PRN Sabah diadakan, saya harap pembangunan, soal kebajikan dan kemudahan rakyat harus diberi keutamaan. Jika politiking menjadi agenda saya yakin soal yang dikatakan ini mungkin tidak dapat diberi keutamaan," katanya.

Beliau berharap semua pihak berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk bersama Perdana Menteri bagi pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 5:42 PM