Anwar diiringi Ahmad Zahid melihat simfoni gendang tradisi dan silat pada Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan. FOTO Bernama
Anwar diiringi Ahmad Zahid melihat simfoni gendang tradisi dan silat pada Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan. FOTO Bernama
Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syaherah Mustafa


Gua Musang: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meluluskan peruntukan RM200 juta untuk membaik pulih jalan perkampungan Orang Asli di Gua Musang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan berkenaan membabitkan jalan Kuala Betis, Pos Balar dan Pos Bihai, di sini, sekali gus menunjukkan kepekaan Kerajaan Perpaduan dalam membantu golongan Orang Asli di Kelantan.

Katanya, peruntukan berkenaan adalah untuk kepentingan Orang Asli selain memberi jalan yang lebih selamat dan selesa untuk menghubungkan mereka di penempatan pedalaman dengan kawasan luar

"Setakat ini KKDW tidak pernah meminta sebarang sumbangan tambahan dengan pihak kerajaan dan hanya menggunakan peruntukan sedia ada untuk membangunkan kawasan luar bandar termasuk untuk kemajuan Orang Asli.

"Peruntukan kali ini dipertanggungjawabkan melalui KKDW dalam membantu memberi kemajuan di kawasan desa atau terpencil termasuk penempatan Orang Asli," katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di di sini, hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 2,000 penduduk kampung Orang Asli di Pos Balar dan Pos Bihai, di sini, merayu pihak berwajib supaya menaik taraf jalan masuk ke kampung mereka untuk kemudahan melakukan urusan seharian.

Ini berikutan keadaan jalan yang rosak dan mendap selain berisiko berlaku tanah runtuh hingga membahayakan nyawa penduduk terutama golongan pendidik yang melaluinya untuk keluar masuk ke kawasan itu.

Ahmad Zahid berkata, pemerintahan sesebuah negara mesti dilakukan secara adil dan saksama, justeru perkara berkenaan sedang dilaksanakan kerajaan selain peka bahawa kerajaan perlu menyantuni semua pihak.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji perubahan positif yang dibawa oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan di bawah kepimpinan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 1:19 PM