SEBELUM ini tiada negara berminat menganjurkan temasya berkenaan dan suasana itu dijangka berubah. FOTO AFP
SEBELUM ini tiada negara berminat menganjurkan temasya berkenaan dan suasana itu dijangka berubah. FOTO AFP
AFP

Lausanne: Walaupun terdapat ancaman daripada perubahan iklim, doping yang dipertingkatkan AI atau persaingan daripada e-sukan, bos Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) percaya masa depan kelihatan begitu cerah untuk pergerakan temasya itu.

Thomas Bach, bekas atlet lawan pedang Jerman berusia 70 tahun, mengetuai pergerakan Sukan Olimpik yang berpangkalan di Switzerland sejak 2013 mengakui minat untuk menganjurkan temasya itu hampir mencapai titik terendah selepas skandal berulang membabitkan kos dan rasuah.

Daya tarikannya yang berkurangan jelas pada masa pembidaan untuk Sukan Olimpik Musim Panas 2024 dan 2028 apabila terdapat hanya dua calon, Paris dan Los Angeles, sebelum kedua-duanya bersetuju membahagikan penganjuran secara terhormat di antara mereka.

Sejak itu, Sukan 2032 dianugerahkan kepada Brisbane, Australia, dan Bach memberitahu AFP dalam temu bual di ibu pejabat IOC bahawa terdapat 'dua digit' bilangan negara yang akan bertanding merebut menjadi tuan rumah 2036.

"Kami tidak pernah berada dalam kedudukan yang begitu baik. Kami tidak pernah melihat minat yang begitu tinggi untuk menganjurkan Sukan Olimpik," katanya.

Selepas beberapa temasya di negara demokrasi Barat, 2036 boleh menjadi peluang untuk Arab Saudi, calon tunggal untuk Piala Dunia 2032, Qatar, calon yang kalah bagi 2032, Indonesia, atau India.

"Kini hanya tinggal 12 tahun lagi dari temasya berkenaan, jadi masih terlalu awal untuk mengulas mengenai mana-mana kepentingan ini," jawab Bach apabila ditanya mengenai Arab Saudi dan Qatar.

Bach menyifatkan kebangkitan semula minat untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik disebabkan oleh pembaharuan dilakukan selepas berusaha menamatkan perbelanjaan membazir yang menyebabkan beberapa bandar tuan rumah sebelum ini hampir muflis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 1:42 PM