Mohd Roji Kawi

Kuching: Kerajaan negeri mengalu-alukan ahli perniagaan khususnya dari Semenanjung Malaysia atau Sabah yang berhasrat untuk menjadi pemastautin tetap (PR) dan terbabit dalam pembangunan di Sarawak.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, bagaimanapun mereka harus menyumbangkan idea untuk memantapkan lagi usaha Sarawak membangunkan ekonomi baharu.

Menurutnya, mereka juga perlu membuka akaun dan membayar deposit sekurang-kurangnya RM2 juta ke dalam bank milik kerajaan negeri dan membeli hartanah dengan harga minimum RM1.5 juta sebelum diterima menjadi PR.

"Sekarang ini ramai ahli perniagaan menyatakan hasrat untuk berhijrah ke Sarawak kerana ekonomi kita semakin kukuh dan sudah berada dalam kelompok tiga teratas di negara ini mengatasi Johor.

"Sebab itu, saya amat bersetuju dan mengalu-alukan cadangan Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri) untuk membenarkan ahli perniagaan berpindah ke Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Turut hadir, Fadillah dan isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir; Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi.

Abang Johari berkata, sebagai komuniti perniagaan, beliau yakin bukan masalah bagi mereka untuk mematuhi syarat yang ditetapkan selain menyumbang idea baharu dalam pembangunan ekonomi Sarawak.

"Syarat seperti harus membeli rumah minimum pada harga RM1.5 juta akan menjana pembangunan perumahan Sarawak dan mereka hanya akan diberi taraf PR bukan terus mendapat taraf kerakyatan Sarawak.

"Itu pastinya mereka mampu. Asal jangan berbini baru (berkahwin lain) sahaja, nanti timbul pula masalah keluarga, kecuali jika memang dibenarkan (berkahwin baru)," katanya sambil berseloroh.

Abang Johari berkata, konsep itu diamalkan di Singapura sehingga seorang menteri di republik itu berasal dari Miri.

Semalam, Fadillah ketika berucap pada satu majlis di sini berkata, beliau mencadangkan untuk mewajibkan ahli perniagaan yang berhasrat untuk berhijrah ke Sarawak dan terbabit dalam pembangunan ekonomi agar memasukkan RM2 juta ke dalam bank milik kerajaan.

Fadillah juga berkata, kerajaan negeri boleh meminta ahli perniagaan terbabit membeli hartanah bernilai sekurang-kurangnya RM1.5 juta sebelum membenarkan mereka berhijrah.

Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri tetap melaksanakan Projek Empangan Melata bagi membekal tenaga kepada penduduk di kawasan pedalaman.

Menurutnya, projek itu itu tidak menjejaskan alam sekitar seperti yang didakwa oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Ada NGO yang tidak tahu konsep empangan melata dan mereka meminta kita menjelaskan pelaksanaan projek itu.

"Jika NGO itu curiga dengan projek yang kita rancang di sesuatu tempat, kita akan alihkan ke tempat lain yang memerlukannya dan sekarang ia sudah kita mulakan di Sungai Gat dalam Bahagian Kapit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 1:55 PM