Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Alias Abd Rani


Muar: Perikatan Nasional (PN) mahu menghantar isyarat besar kepada Putrajaya melalui kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, bulan depan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun kemenangan itu tidak akan mengubah kerajaan negeri mahupun pusat, ia sangat penting sebagai 'signal' kebangkitan serta kemarahan rakyat terhadap pimpinan sekarang.

Beliau berkata, berdasarkan senario terkini, sekiranya PN bekerja keras dan pengundi sedar akan tanggungjawab mengundi, pihaknya yakin membantu peluang kepada PN untuk menang.

"PRK ini adalah kayu pengukur bukan setakat ini Kuala Kubu Baharu dan Selangor tetapi peringkat nasional.

"Bermakna kalau di sini (Kuala Kubu Baharu) rakyat tunjukkan sikap marah, kalahkan calon DAP, ini bermakna isyarat besar sampai ke Putrajaya.

"Walaupun kemenangan tidak mengubah keadaan (kerajaan sedia ada), isyarat itu penting," katanya pada sidang media ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, di Kuala Kubu Baharu, Melayu menguasai sebahagian besar komposisi pengundi namun, hanya 67 peratus keluar mengundi ketika PRN tahun lalu.

Beliau berkata, berbanding pengundi Cina, hampir 100 peratus keluar mengundi dan ia memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).

"Kalau ikut keputusan PRN DUN ini yang lalu, PH menang majoriti 4,119 undi dan kita melihat agak tepu. Maknanya ia stabil hampir untuk tiga kali pilihan raya, tiada pertambahan.

"Kalau dulu 67 peratus pengundi Melayu keluar mengundi, kalau naik ke 80 dan 90 peratus...kan bagus," katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, dengan situasi semasa politik, ekonomi dan sosial dalam negara, rakyat mampu mengukur tahap keupayaan atau ketidakupayaan Kerajaan Perpaduan ketika ini.

"Saya harap pengundi keluar ramai, kepada pengundi Melayu yang dulu tak keluar ramai, harap mereka sedar, ini bukan soal perkauman tapi lebih kepada kecenderungan pengundi di situ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 1:51 PM