AHMAD Zahid turut serta dalam Bengkel Permukiman KKDW yang berlangsung selama tiga hari.
AHMAD Zahid turut serta dalam Bengkel Permukiman KKDW yang berlangsung selama tiga hari.
Datuk Seri Ramlan Harun

SEBANYAK enam fokus utama digariskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam Bengkel Permukiman KKDW sebagai pengubah keadaan pembangunan desa di 15,000 kampung seluruh negara.

Enam fokus utama itu adalah Ekonomi dan Keusahawanan, Pengukuhan Tadbir Urus dan Kemampanan Agensi dan Anak Syarikat, Pendidikan, Infrastruktur dan Teknologi, Kepimpinan Desa serta Tatakelola dan Sistem Penyampaian.

Objektif utama permukiman adalah mengenal pasti usaha reformasi dan transformasi bagi merealisasikan Aspirasi Desa Madani berteraskan empat elemen utama iaitu Kemahiran dan Pengetahuan, Keberkesanan dan Kecekapan, Data dan Digital dan Wow-Factor.

Sepanjang tiga hari bengkel berlangsung, pelbagai agenda diadakan termasuk ucaptama menteri, rumusan pencapaian program game changer tahun 2023, santapan rohani, perkongsian ilmu dari pakar-pakar dalam bidang berkaitan, dan sesi sumbang saran serta perbincangan teliti melibatkan kesemua kaukus terlibat.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya menzahirkan usaha KKDW melaksanakan pelbagai pengubah keadaan untuk merintis perubahan impak sosial kumpulan sasar merangkumi warga luar bandar, desa dan kumpulan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

KKDW telah mengambil beberapa tindakan untuk melaksanakan pelbagai game changer terutamanya apabila Perdana Menteri meluluskan peruntukan di bawah Dana Komuniti Madani sebanyak RM 1 bilion dalam belanjawan 2024 untuk program pembangunan ekonomi di lebih 15, 000 kampung di seluruh negara.

Pendekatan kali ini adalah menerusi kerjasama dengan semua kementerian dan agensi yang terlibat supaya pelaksanaan pembangunan desa dapat dilakukan secara menyeluruh.

Selain itu, sepanjang program ini dijalankan, sebanyak 62 cadangan dihasilkan merangkumi pelbagai aspek dan potensi baharu dalam meningkatkan kualiti hidup warga desa.

Dalam merealisasikan hasrat ini, sebuah sekretariat tetap di Kementerian akan diwujudkan untuk menentukan keutamaan dan garis masa program serta memantau pelaksanaan dan keberhasilan bagi setiap program.

Perkara ini selaras dengan matlamat transformasi, pemugaran dan rekayasa sosial supaya faedahnya dapat dinikmati warga desa dengan sebaiknya.

Sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab saya memimpin KKDW dalam menyokong hasrat Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW.

Dedikasi yang tidak berbelah bahagi ini membuktikan komitmen kami untuk memperkasakan komuniti luar bandar.

Inisiatif dan usaha kerjasama yang kami lakukan bukan sahaja menunjukkan komitmen, malahan juga mempamerkan pendekatan komprehensif kami untuk memacu perubahan dan kemajuan yang besar dalam pembangunan luar bandar di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 6:45 AM