SULTAN Sharafuddin Idris Shah. FOTO Bernama
SULTAN Sharafuddin Idris Shah. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa haji adalah satu perjalanan yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan tentang ibadat haji yang jelas.

Justeru baginda bertitah menasihatkan jemaah yang bakal menunaikan haji pada tahun ini agar mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya.

"Alhamdulillah, beta dan Tengku Permaisuri Selangor telah berkesempatan menunaikan fardhu Haji pada tahun lepas. Justeru itu, beta ingin menasihati tuan-tuan dan puan-puan untuk mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya.

"Sepanjang berada di Tanah Suci, bersihkan niat dan gunakanlah sepenuh masa serta tenaga tuan-tuan dan puan-puan untuk melaksanakan amal ibadah.

"Beta juga menyeru agar tuan-tuan dan puan-puan saling berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain," titah baginda pada Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024M anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Berkenaan berangkat mengiringi baginda adalah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar; Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Menerusi titah berkenaan, Sultan Sharafuddin juga mengingatkan jemaah agar jangan mudah menyebarkan berita yang tidak tepat di media sosial berkaitan dengan kekurangan, kelemahan atau keburukan TH.

"Sekiranya jemaah haji menghadapi masalah atau tidak mendapat kepastian tentang suatu perkara, ianya hendaklah dirujuk dan berbincang dengan baik dengan pihak Lembaga Tabung Haji melalui saluran yang betul.

"Kita harus bersyukur dengan adanya sebuah perbadanan seperti Lembaga Tabung Haji yang menjaga kebajikan jemaah haji negara. Oleh itu gunakanlah kemudahan yang ada untuk mempermudahkan urusan mengerjakan haji atau pun umrah," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor bertitah menasihatkan jemaah haji untuk mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan terhindar dari sebarang masalah.

"Pada tahun ini beta juga telah menitahkan supaya kerajaan negeri menaja peserta haji kepada seramai 36 rakyat Selangor dari sembilan daerah di negeri ini. Mereka dipilih di kalangan rakyat yang tidak mampu tetapi benar-benar berhasrat untuk menunaikan haji," titah baginda.

Seramai 31,600 bakal haji mula mengikuti Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024M anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) yang diadakan secara berperingkat di seluruh negara bermula 20 April hingga 5 Mei 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 1:01 PM