AHMAD Zahid berbual bersama Syed Hussian Aljunid (dua kiri); Rafiq (empat kiri); Ahmad Zaini (kiri); Azhari (lima kiri) dan Azlan ketika menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
AHMAD Zahid berbual bersama Syed Hussian Aljunid (dua kiri); Rafiq (empat kiri); Ahmad Zaini (kiri); Azhari (lima kiri) dan Azlan ketika menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Penyelarasan pengeluaran makanan negara perlu dilaksanakan antara agensi dan jabatan serta kementerian, bagi memastikan ia berskala besar dalam menampung keterjaminan makanan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam usaha kerajaan menjamin bekalan makanan mencukupi untuk rakyat, pihak swasta juga harus bersama-sama memikul tugas yang sama.

"Peranan pihak swasta bukan hanya di kawasan perladangan tetapi syarikat pengeluaran atau peruncit, malah pemborong juga harus dibabitkan dalam pengeluaran dan pemasaran bahan makanan ini," katanya pada sidang media selepas program Santai Pagi Timbalan Perdana Menteri dengan pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan Kumpulan, Rafiq Razali di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Timbalan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin serta Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat Pengerusi Kumpulan, Azlan Abdul Aziz.

Ahmad Zahid berkata, ketika ini Kerajaan sedang dalam usaha memperkasakan kawasan luar bandar bagi tujuan keselamatan makanan yang dilakukan antara kementerian terbabit.

Pada masa sama, beliau berkata, perlu ada usaha jangka masa panjang untuk mengurangkan pergantungan import barangan makanan melalui pengeluaran produk makanan dalam negara.

"Ketergantungan kita amat tinggi. Walaupun kos pengeluaran tempatan itu mungkin agak mahal tetapi untuk jangka masa panjang (import barangan makanan) mengurangkan nilai ringgit yang menjadi tukaran ke luar negara," katanya.

Sementara tu, Ahmad Zahid berkata, usaha perlu dilakukan untuk melihat semula cara mengembalikan Malaysia sebagai peneraju industri halal.

Beliau berkata, biarpun sebelum ini Malaysia pernah menjadi pemacu industri halal, yang dibangunkan sejak lebih 40 tahun lalu, ketika ini negara berada agak terkebelakang.

"Saya juga harus melihat sebagai Pengerusi Majlis Halal Malaysia untuk melihat bukan sahaja pengeluaran bahan berkenaan halal tetapi sistem halal yang membabitkan eksport, penggunaan dalam negara dan bagaimana penghasilan bahan ini bukan hanya untuk orang Islam tetapi pelbagai bangsa di negara kita.

"Sijil halal kita diiktiraf di seluruh dunia kerana sistem yang kita mulakan sejak 40 tahun lalu diterima masyarakat antarabangsa bukan sahaja masyarakat Islam tetapi masyarakat pelbagai agama di seluruh dunia kerana kita tahu pasaran halal ini cukup besar melebihi daripada RM4 trilion dan kita mesti menjadi pemain utama dalam pengeksportan bahan-bahan halal ini.

"Halal bukan sahaja makanan, tetapi perkhidmatan sistem perbankan, sistem insurans dan beberapa sistem yang lain yang kita menjadi pemacu kepada idea ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 4:29 PM