Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 2.62 juta batang rokok seludup membabitkan pelbagai jenama bernilai lebih RM2.3 juta termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan, Rabu lalu.

Rampasan berkenaan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu dan Rantau Panjang di Kampung Pasir Pekan Hilir dan Kampung Pasir Pekan di Tumpat.

Pengarah JKDN Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan pertama dilakukan di tepi tebing sungai di Kampung Pasir Pekan pada 8.10 malam yang membawa kepada rampasan sebanyak 93 kotak mengandungi 1.72 juta batang rokok disimpan dalam sebuah lori.

"Dalam serbuan kedua yang dilakukan pada 9.30 malam pula iaitu tiga kilometer dari lokasi pertama membawa kepada rampasan 90 kotak rokok seludup membabitkan 900,000 batang rokok.

"Kedua-dua rampasan berkenaan berjumlah 2.62 juta yang dianggarkan bernilai RM2.3 juta termasuk cukai.

"Kita percaya kedua-dua kes berkenaan didalangi sindiket yang sama dan bekalan terbabit dibawa masuk dari Thailand," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, modus operandi yang dilakukan sindiket berkenaan adalah membawa masuk barangan berkenaan melalui sempadan Malaysia-Thailand.

"Mereka akan menggunakan khidmat penyeludup dengan membawa masuk rokok pelbagai jenis melalui Sungai Golok secara berperingkat.

"Rokok seludup berkenaan akan dikumpul dan disembunyikan di suatu tempat bagi memastikan pergerakan mereka selamat sebelum diedar dalam pasaran," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan pihaknya meminta bantuan orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah pengedaran rokok seludup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 1:17 PM
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long bersama pegawainya menunjuk rampasan 2.62 juta batang rokok seludup membabitkan pelbagai jenama bernilai lebih RM2.3 juta termasuk cukai menerusi dua serbuan berasingan pada sidang media di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR