Datuk Ruslee Hashim (tiga dari kanan) bersama penduduk dari 16 taman perumahan di Sungai Buaya ketika sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri diperkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Buaya. FOTO HADZLAN
Datuk Ruslee Hashim (tiga dari kanan) bersama penduduk dari 16 taman perumahan di Sungai Buaya ketika sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri diperkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Buaya. FOTO HADZLAN

Hadzlan Hassan

[email protected]

Rawang: Penduduk 16 taman perumahan di Sungai Buaya di sini bakal menikmati sebuah masjid baharu yang lebih selesa untuk beribadat terutamanya bagi menunaikan solat Jumaat.

Ini kerana hampir 15,000 penghuni taman perumahan terbabit tidak dapat menunaikan solat Jumaat kerana ketiadaan ruang dan bergantung kepada masjid dan surau di kampung berdekatan.

Menyedari perkara itu, 16 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Sungai Buaya bergabung untuk menyelesaikan segera isu berkenaan supaya tidak berlarutan.

Pengerusi pertubuhan itu, Datuk Ruslee Hashim berkata, semua pengerusi NGO tidak mahu dipersoalkan di akhirat kelak andai gagal menyelesaikan isu berkenaan dan sentiasa mencari jalan menyelesaikannya.

"Selepas bertahun berusaha, Alhamdulillah, syarikat yang menjadi pemilik tanah berdaftar Sungai Buaya, Murna Jaya Development Berhad (MJD Berhad) bermurah hati menyediakan tapak untuk pembinaan masjid, sekolah dan dewan komuniti.

"Bukan itu sahaja, sebanyak 4.6 hektar lagi diperuntukkan untuk tapak perkuburan Islam di kawasan ini dan dan selepas ini Sungai Buaya akan menjadi tempat kita menghuni dan tempat kita dikebumikan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian di Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 anjuran gabungan berkenaan di sini, semalam yang disertai lebih 3,000 penduduk.

Ruslee berkata, Taman Perumahan Sungai Buaya satu ketika dulu umpama 'pekan koboi terbiar' kerana ketiadaan jalan masuk yang sempurna selain gelap.

"Namun kini, segalanya berubah apabila rangkaian jalan perhubungan mudah disediakan selain bakal menjadi lokasi pelaburan baharu di Selangor.

"Saya difahamkan Sungai Buaya akan menjadi lokasi pembuatan perabot terbesar selepas ramai pelabur sudah menyatakan kesediaan untuk beroperasi di sini," katanya.

Kenyataan berkenaan ada benarnya kerana kadar sewa rumah yang dahulunya sekitar RM300 sebulan kini sudah ada yang menjangkau sehingga RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 1:46 PM