Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kerjasama kerajaan dengan media termasuk dengan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) berperanan dalam pembentukan masyarakat berinovasi dalam aspirasi menganjakkan negara ke ekonomi bernilai tinggi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata, ketika ini, ada beberapa idea yang bakal dipanjangkan dalam perbincangan lanjut bersama-sama Media Prima.

Beliau yang menerima kunjungan hormat kepemimpinan kanan Media Prima, diketuai Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid di pejabatnya, hari ini turut membincangkan beberapa agenda ekonomi nasional.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada keseluruhan kepimpinan Media Prima yang hadir pada hari ini.

"Kita bincangkan mengenai beberapa agenda ekonomi nasional. Contohnya mengenai bagaimana peranan yang kita boleh mainkan di peringkat kementerian dan disambut oleh Media Prima untuk membentuk masyarakat yang berinovasi dan untuk kita anjakkan daripada ekonomi yang kita ada sekarang ke ekonomi bernilai tinggi.

"Kita perlu hasilkan budaya itu dalam masyarakat," katanya selepas kunjungan hormat di pejabatnya di sini, petang tadi.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat Pengerusi Kumpulan Azlan Abdul Aziz.

Rafizi berkata, turut dibincangkan beberapa perspektif ekonomi yang membabitkan rakyat.

Beliau berkata, ia berikutan kerajaan ada dasar namun perkara itu perlu juga disambut dengan baik oleh rakyat dalambeberapa perkara.

Justeru, katanya, media seperti Media Prima ada peranan yang cukup penting memastikan kerajaan dan masyarakat serta industri bergerak ke arah yang sama.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, kunjungan rasmi itu antara lain membincangkan bagaimana Media Prima boleh menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Ekonomi dengan manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Alhamdulillah kita mendapat maklum balas yang amat positif daripada pihak Menteri bagaimana kita boleh membantu pihak Menteri menunaikan atau melaksanakan program yang dalam perancangan mereka, secara bekerjasama dengan Media Prima.

"InsyaAllah selepas ini kita akan ada lagi perbincangan untuk memperincikan atau butiran lanjut mengenai program yang boleh kita jalinkan bersama dengan Kementerian Ekonomi dan Media Prima," katanya.

Ahmad Zaini berkata, Rafizi turut berminat untuk menyahut jemputan Media Prima meninjau operasi Kumpulan itu.

"Sudah tentu setiap kali kita mengadakan kunjungan hormat dengan Menteri kita akan menjemput.

"Yang Berhormat Menteri pun tadi juga berminat untuk datang dan insyaAllah kita akan uruskan lawatan itu kemudian nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 5:33 PM