Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Bilangan mangsa banjir di Johor meningkat kepada 4,368 membabitkan 1,218 keluarga ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, ia berbanding seramai 4,207 mangsa membabitkan 1,164 keluarga ditempatkan di 45 PPS pada 2 petang.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

"Segamat terus mencatatkan bilangan mangsa banjir paling ramai dengan 1,522 daripada 424 keluarga di 20 PPS berbanding 1,521 mangsa banjir daripada 428 keluarga daripada 19 PPS pada jam 2 petang.

"Ia diikuti di Kluang iaitu seramai 1,222 mangsa membabitkan 348 keluarga di 11 PPS berbanding 1,212 mangsa membabitkan 348 keluarga ditempatkan di 11 PPS.

"Mersing pula mencatatkan penurunan dengan menempatkan 708 mangsa banjir membabitkan 221 keluarga di empat PPS berbanding 717 mangsa banjir membabitkan 207 keluarga di empat PPS sebelumnya.

"Bilangan mangsa banjir di Kota Tinggi masih sama apabila 591 mangsa membabitkan 144 keluarga ditempatkan di enam PPS.

"Batu Pahat pula mencatat 119 mangsa membabitkan 35 keluarga di dua PPS berbanding 151 membabitkan 32 keluarga di dua PPS sebelumnya manakala Muar mencatat bilangan sama iaitu 15 mangsa daripada lima keluarga di tiga PPS," katanya.

Mengikut ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sembilan daripada 10 daerah di Johor akan terus mengalami hujan lebat membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Muar, Pontian, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai.

KEADAAN banjir di Kampung Telok, Sedili. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KEADAAN banjir di Kampung Telok, Sedili. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 4:35 PM