KEADAAN banjir akibat hujan sejak semalam di Bandar Penawar dan Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KEADAAN banjir akibat hujan sejak semalam di Bandar Penawar dan Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Banjir di Johor semakin buruk dengan mangsa banjir terus melonjak kepada 3,967 daripada 1,104 keluarga ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu meningkat berbanding seramai 3,612 daripada 1,014 keluarga yang ditempatkan di sebanyak 35 PPS di lima daerah pada 8 pagi tadi.

Beliau berkata, pada tengah malam tadi hanya seramai 2,912 mangsa daripada 833 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS di empat daerah.

Menurutnya, daerah Muar turut terjejas membabitkan pembukaan dua PPS yang menempatkan mangsa banjir namun jumahlahnya masih dikemaskini.

Katanya, Segamat terus mencatatkan bilangan mangsa banjir paling ramai dengan 1,417 mangsa banjir daripada 399 keluarga daripada 16 PPS manakala sebelum ini hanya 13 PPS dibuka di daerah berkenaan.

"Ia diikuti bilangan mangsa banjir di Kluang iaitu seramai 1,191 mangsa banjir membabitkan 341 keluarga ditempatkan di 11 PPS.

"Manakala Kota Tinggi menempatkan 568 mangsa banjir membabitkan 138 keluarga di enam PPS.

"Mersing pula menempatkan 640 mangsa banjir membabitkan 194 keluarga di empat PPS," katanya menerusi siaran media hari ini.

Mengikut ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sembilan daripada 10 daerah di Johor akan terus mengalami hujan lebat membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Muar, Pontian, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai.

Tiga sungai masing-masing dua di Segamat dan satu di Kluang juga berada pada paras bahaya pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 1:12 PM