Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Mangsa banjir di Johor naik mendadak kepada 7,981 penduduk daripada 2,286 keluarga yang dipindahkan ke 72 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di lapan daerah terjejas banjir, setakat jam 5 petang ini.

Ia berbanding hanya 5,878 penduduk daripada 1,575 keluarga, yang dipindahkan ke 54 PPS yang dibuka di enam daerah terjejas banjir, setakat jam 12 tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, hujan lebat yang masih berterusan sejak lebih 24 jam lalu menyebabkan kebanyakan penempatan di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinaiki air banjir.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Mersing dan Tangkak adalah daerah ketujuh dan kelapan terjejas banjir masing-masing dengan 44 dan 18 mangsa di 14 di tiga PPS.

Katanya, Segamat pula adalah daerah paling terjejas banjir dengan mangsanya terus melonjak kepada 2,408 penduduk daripada 743 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS.

"Kluang pula daerah kedua terjejas dengan mangsa banjirnya kekal dengan 1,952 penduduk daripada 518 keluarga di 10 PPS, manakala mangsa banjir di Johor Bahru pula melonjak naik kepada 1,888 penduduk daripada 609 mangsa ditempatkan di 11 PPS.

"Kota Tinggi turut merekodkan peningkatan mangsa kepada 1,315 penduduk daripada 307 keluarga di 13 PPS. Seramai 320 mangsa banjir daripada 80 keluarga di lima PPS di Kulai manakala Pontian mempunyai 36 mangsa daripada 11 keluarga di tiga PPS.

"Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengekalkan amaran hujan berterusan tahap bahaya atau merah ke atas semua 10 daerah negeri ini sehingga esok, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

KENDERAAN pemilik ladang hanyut akibat banjir di Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang, Kluang. FOTO arkib NSTP
KENDERAAN pemilik ladang hanyut akibat banjir di Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang, Kluang. FOTO arkib NSTP

Dalam pada itu, Azmi berkata, 15 sungai utama masing-masing empat di Segamat dan Kulai, dua di Tangkak serta masing-masing satu di Johor Bahru, Kluang, Pontian, Kota Tinggi dan Batu Pahat, berada pada paras bahaya, tengah hari ini.

Katanya, ia membabitkan Sungai Segamat Kecil yang melebihi paras bahaya di 38.32 meter, Sungai Bandar Segamat pula melepasi 10.56 meter, Sungai Labis melepasi paras 41.52 meter dan Sungai Lenik Ladang Chaah pula melepasi 8.69 meter.

"Di Kulai pula, Sungai Siku di Kampung Murni Jaya melepasi paras bahaya di 18.52 meter, Sungai Skudai Kampung Separa melepasi 18.92 meter, Sungai Kampung Melayu Bukit Batu turut melepasi paras bahaya di 12.83 meter dan Sungai Siam Kampung Sungai Siam pula melepasi paras bahaya 21.53 meter.

"Di Tangkak, Sungai Tangkak Kampung Seri Makmur turut melepasi tahap bahaya pada paras 4.25 meter selain Sungak Kesang Telok Rimba merekodkan paras bahaya 3.78 meter.

"Di Johor Bahru, Sungai Skudai di Kampung Laut melepasi paras bahaya 5.36 meter, Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang juga melepasi tahap bahaya di paras 16.96 meter dengan Sungai Pulai, di Kampung Ulu Pulai, Pontian turut melepasi tahap bahaya pada paras 2.56 meter.

"Empangan Bekok di Batu Pahat pula merekodkan paras bahaya 19.76 meter manakala Sungai Johor di Kota Tinggi juga melepasi paras bahaya 2.93 meter," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak tujuh jalan raya di negeri membabitkan Kluang, Kulai, Mersing, Batu Pahat dan Johor Bahru ditutup sepenuhnya akibat banjir dan tanah runtuh.

Laluan yang ditutup kepada semua kenderaan akibat banjir ialah Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway), Jalan Batu Pahat - Mersing; Jalan SMK Layang-layang; Jalan Ulu Tebrau-Ulu Tiram; Jalan Jemaluang- Batu Pahat; Jalan Johor Bahru-Seremban.

Manakala susur Jalan Masai Sesyen 21 di Johor Bahru ditutup akibat tanah runtuh yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 5:39 PM