BOBI ketika GWR mengitirafnya sebagai  'Anjing Tertua di Dunia'. FOTO GWR
BOBI ketika GWR mengitirafnya sebagai 'Anjing Tertua di Dunia'. FOTO GWR
Agensi

Lisbon: Pemilik Bobi, bekas 'Anjing Tertua di Dunia' yang dilucutkan gelarannya selepas kematiannya pada tahun lalu, dilaporkan bakal memfailkan saman terhadap Rekod Dunia Guinness (GWR).

Leonel Costa mendakwa dia membesarkan anjingnya sejak haiwan itu dilahirkan pada 1992, dan meraikan pesta ulang tahun anjing itu yang ke-31 dengan sambutan meriah di bandar kelahirannya di Conquieros, Portugal, pada Mei tahun lalu.

Hanya beberapa bulan sebelum itu, GWR memperakuinya sebagai 'anjing tertua yang pernah hidup'.

Tetapi timbul banyak keraguan daripada profesional veterinar berikutan kematian Bobi pada Oktober tahun lalu, menyebabkan pegawai menilai semula permohonan itu, dan pada Februari lepas, gelaran itu dibatalkan.

Pengarah rekod GWR, Mark McKinley berkata, pada masa itu, pihaknya memastikan sebaik mungkin ketepatan dan integriti untuk semua rekod.

"Berikutan kebimbangan yang dibangkitkan oleh doktor haiwan dan pakar lain, baik secara persendirian mahupun dalam ulasan awam, dan penemuan penyiasatan yang dijalankan oleh beberapa media, kami merasakan adalah penting untuk membuka semakan terhadap rekod Bobi.

"Tanpa sebarang bukti konklusif yang tersedia untuk kami sekarang, kami tidak boleh mengekalkan Bobi sebagai pemegang rekod dan secara jujur mendakwa mengekalkan standard tinggi yang kami tetapkan sendiri," katanya.

Costa bagaimanapun nekad dia akan mendapatkan semula rekod dipegang anjingnya.

Dia kini menggerakkan usaha untuk mengheret GWR ke mahkamah selepas dia tidak menerima jawapan kepada bukti yang tidak dihantarnya kepada pihak berkenaan.

Majalah Time sebelum ini melaporkan Bobi memperoleh Gelaran "Anjing Tertua di Dunia" daripada GWR pada Februari 2023. Pada masa itu, ia dilaporkan berumur sekitar 30 tahun dan 266 hari. Jangka hayat anjing baka tulen Rafeiro do Alentejo adalah kira-kira 12 hingga 14 tahun.

Apabila Bobi mati pada Oktober 2023, ia dipercayai berusia 31 tahun dan 165 hari. Tetapi pakar meragui umur Bobi sejurus selepas kematiannya.

Siasatan oleh Wired pada Disember menyatakan bahawa Bobi hanya didaftarkan secara rasmi dalam pangkalan data Kerajaan Portugal untuk kucing, anjing dan haiwan peliharaan lain, pada Julai 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 11:17 AM