Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Penambahan jumlah mangsa banjir di Batu Pahat yang mencecah 38,134 orang menyumbang kepada peningkatan jumlah mangsa banjir bagi seluruh negeri ini, setakat jam 8 pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di Batu Pahat yang terdiri daripada 10,682 keluarga itu kini ditempatkan di 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, jumlah mangsa banjir di enam daerah terjejas pula kini mencecah 45,218 orang (12,781 keluarga) pagi ini berbanding 43,856 orang (12,620 keluarga) pada jam 8 malam tadi.

"Sebanyak enam daerah yang masih terjejas setakat ini iaitu Batu Pahat, Muar, Tangkak, Segamat, Mersing dan Kluang.

"Sehingga jam 8 pagi ini, Batu Pahat sahaja yang masih mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir, empat yang lain menurun, manakala sebuah daerah kekal.

"Di Muar, jumlah mangsa banjir menurun kepada 3,661 orang (1,091 keluarga) di 19 PPS dan Tangkak pula kini menempatkan 2,073 orang (675 keluarga) di 19 PPS.

"Segamat pula kini tinggal 1,045 mangsa banjir (262 keluarga) di 20 PPS dan Kluang berkurang kepada 113 orang (24 keluarga) di dua PPS.

"Manakala, Mersing kekal dengan jumlah mangsa banjir 219 orang (53 keluarga) yang ditempatkan di tiga PPS," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Azmi, terdapat sebuah PPS baharu dibuka dan kini semua mangsa banjir ditempatkan di 174 PPS.

KEADAAN banjir di Seri Gading, Batu Pahat Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
KEADAAN banjir di Seri Gading, Batu Pahat Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan mahu pun ribut petir semua daerah di Johor.

Bagi laporan cuaca sebenar pula setakat tengah hari ini menunjukkan semua daerah di negeri ini dilaporkan cerah, kecuali Mersing dan Kluang yang dilaporkan hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 8:38 AM