Norzamira Che Noh

Klang: Terpaksa tinggal dan tidur berhimpit-himpit tidak ubah seperti di dalam kandang lembu atau kerbau.

Itu luahan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berhubung nasib 526 orang pekerja asing warga Nepal, Bangladesh dan Myanmar susulan Operasi Bersepadu bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di tiga premis kilang di daerah ini pagi tadi.

Hasil pemeriksaan mengejut itu mendapati pihak majikan tidak menyediakan kemudahan penginapan yang selesa kepada pekerja masing-masing.

Beliau berkata, menerusi pemeriksaan di tiga premis kilang berasaskan produk kayu dan getah di sekitar Klang mendapati keadaan tempat penginapan pekerja asing adalah mendukacitakan.

Katanya, pekerja tidak diberi tempat yang sesuai untuk tinggal selain bilik dalam keadaan buruk serta sempit yang mana ada enam katil dalam sebuah bilik.

Jelasnya, pekerja juga tidak diberi tilam dan apabila ditanya mereka memaklumkan tidak pernah ada tilam.

"Perkara ini harus diberi perhatian serius termasuk kepada semua majikan seluruh negara yang mahu menggaji pekerja asing. Mereka perlu memastikan tempat penginapan yang sesuai.

"Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati majikan kilang berkenaan melakukan beberapa kesalahan mengikut akta yang dikuatkuasakan oleh JTKSM antaranya Seksyen 24D Akta 446 dan juga kesalahan mengikut Peraturan 3 dan 4 akta sama.

"Majikan juga melakukan kesalahan mengikut akta dikuatkuasakan oleh JKKP (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) serta tidak mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)," katanya.

ANTARA pekerja warga asing yang ditahan Penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ketika Operasi Bersepadu Akta 466 Port Klang di sebuah kilang di sekitar Aman Perdana, Klang. FOTO Faiz Anuar
ANTARA pekerja warga asing yang ditahan Penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ketika Operasi Bersepadu Akta 466 Port Klang di sebuah kilang di sekitar Aman Perdana, Klang. FOTO Faiz Anuar

V Sivakumar berkata, tempat tinggal yang tidak mematuhi syarat sekaligus akan membahayakan pekerja serta akan menjadi isu besar jika berlaku sesuatu musibah.

"Ini adalah amaran kepada majikan seluruh negara berikutan Malaysia akan membawa masuk ramai pekerja asing untuk keperluan lima sektor yang sudah diumumkan.

"Kita longgarkan perkara itu (kemasukan pekerja asing) tetapi kita perlu pastikan bila mereka datang ( ke Malaysia) mereka mempunyai tempat tinggal yang sesuai," katanya.

Turut menyertai operasi adalah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KSM A Maniam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 2:37 PM