Dr Adham (kanan) bersama Dr Aman serta pegawai dari Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Kesihatan membuat pemeriksaan di tempat penginapan pekerja warga asing di kawasan rumah kedai di Senai Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Dr Adham (kanan) bersama Dr Aman serta pegawai dari Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Kesihatan membuat pemeriksaan di tempat penginapan pekerja warga asing di kawasan rumah kedai di Senai Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Mohamed Farid Noh


Kulai: Gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 di negara didominasi kluster tempat kerja yang merekodkan 527 kluster dengan 78,906 kes positif bermula September sehingga semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berkata, daripada jumlah itu seramai 58,318 membabitkan bukan warga Malaysia manakala selebihnya iaitu seramai 20,588 adalah warga negara.

Katanya, kluster tempat kerja merangkumi kategori pembuatan yang merekodkan 194 kluster diikuti perkhidmatan (175) pembinaan (94), pentadbiran awam (39),pertanian ( 14) dan perlombongan/kuari (lapan).

"Laporan dikeluarkan KKM mengesan gelombang ketiga Covid-19 di negara ini bermula 20 September hingga semalam merekodkan sebanyak 852 kluster, dengan 527 kluster daripadanya adalah membabitkan tempat kerja. Ini adalah jumlah yang besar.

"Dalam kluster di tempat kerja ini, seramai 315,100 disaring dengan 78,906 (25.04 peratus ) didapati positif Covid-19. Daripada jumlah kes positif di tempat kerja berkenaan 73.91 peratus adalah dalam kalangan bukan warga negara, manakala 26.09 peratus adalah warga tempatan" katanya.

Beliau berkata demikian selepas operasi bersepadu KKM, PDRM dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ke penempatan pekerja warga asing di kawasan industri Senai di sini, hari ini

Operasi berkenaan dibuat susulan seramai 568 pekerja kilang di Kulai diarah menjalani saringan bersasar Covid-19 dengan 327 disahkan positif pada 5 hingga 11 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, menerusi operasi bersepadu yang dilakukan itu, pihaknya mendapati keadaan tempat tinggal pekerja asing terlalu sesak dan sempit, dengan seramai 19 hingga 25 orang bersesak di dalam sebuah lot rumah kedai.

"Tempat penginapan ini difahamkan didiami oleh pekerja warga asing dari tiga kilang berbeza di Senai. Kita tidak pasti sama ada tempat penginapan ini disediakan majikan atau agensi lain namun ia sedang disiasat JTK.

"Menerusi tinjauan yang dilakukan, kita dapati majikan meletakkan pekerja mereka dengan tidak amalkan 3S dan ia melanggar Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Kita akan minta JTK Johor menyiasat sama ada majikan atau agensi pekerja yang bertanggungjawab terhadap keadaan tempat tinggal pekerja asing terbabit.

"Tindakan perlu diambil bagi mengatasi kesesakan di tempat penginapan pekerja asing bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 5:10 PM