Norzamira Che Noh

Pelabuhan Klang: Sebuah kilang pengeluar sarung tangan di Pelabuhan Klang Utara di sini, dikenakan kompaun selepas didapati gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Pemilik kilang di kompaun mengikut Peraturan 10, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selepas asrama pekerjanya diperiksa mengejut oleh Jabatan Kesihatan Daerah (PKD) Klang.

Kompaun berjumlah RM1,000 itu dikeluarkan serta merta selepas pemeriksaan dilakukan terhadap kilang dan asrama pekerja syarikat berkenaan tadi.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Daerah (PKD) Klang, Ili Syazwani Mohd Mashudi memaklumkan, kompaun dikeluarkan selepas syarikat menunjukkan dokumen pembuktian diperlukan/

"Berdasarkan pemeriksaan, kami dapati banyak peraturan yang tidak dipatuhi di asrama pekerja iaitu proses sanitasi yang sepatutnya dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali sehari tidak dilaksanakan pihak syarikat.

"Selain itu, kami mengesan tiada penjarakan di sebuah bilik asrama lelaki. Pengurusan syarikat gagal menunjukkan rekod berapa ramai pekerja yang tinggal dalam bilik berkenaan.

"Melihat kepada situasi di asrama, ia memang berpotensi untuk ditutup bagaimanapun, selepas syarikat menunjukkan pembuktian dokumen, hanya tindakan kompaun dikeluarkan," katanya selepas Ops Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Klang di sini, semalam/

Ili Syazwani berkata, syarikat itu diarah melakukan penambahbaikan dalam tempoh 24 jam dan pihaknya akan membuat pemeriksaan semula hari ini.

Operasi berkenaan dijalankan JTKSM bersama PKD Klang, Polis Diraja Malaysia serta Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab berkata, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati syarikat berusaha untuk mematuhi kriteria dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Kita melihat syarikat berusaha untuk mematuhi kriteria ditetapkan bagaimanapun masih terdapat beberapa perkara antaranya penempatan katil pekerja yang boleh membahayakan.

"Selain itu, syarikat didapati gagal menyediakan keperluan seperti tilam, bantal serta selimut kepada pekerja," katanya.

Beliau berkata, majikan juga perlu melantik seorang penyelia untuk mengawal serta mengambil suhu pekerja yang keluar masuk dari asrama selain menyediakan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan pekerja," katanya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab (kanan) ketika operasi menyerbu sebuah syarikat yang menempatkan asrama pekerja warga asing di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab (kanan) ketika operasi menyerbu sebuah syarikat yang menempatkan asrama pekerja warga asing di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 6:02 PM