Uzaidi Udanis
Uzaidi Udanis
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dicadangkan supaya memberikan galakan untuk pelancong dari China yang datang melancong ke Malaysia menggunakan agensi pelancongan berdaftar di bawah MOTAC.

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, langkah itu bertujuan memantau selain mengelakkan pelbagai persepsi susulan dakwaan terdapat lebih 1.2 juta warga dari republik itu tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh antara 2018 hingga 2021.

Beliau berkata, pihaknya percaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memantau secara tegas, tulus dan telus.

"Saya kerap mencadangkan supaya pelancong China menggunakan agensi pelancongan yang berdaftar di Malaysia. Saya tidak pernah dengar dakwaan pelancong menggunakan agensi pelancongan berdaftar di Malaysia hilang atau tidak pulang ke negara asal.

"Agensi pelancongan berdaftar ini mementingkan prosedur operasi standard (SOP). Apabila pelancong di bawah seliaan mereka tiba di negara ini dalam jumlah tertentu, mereka akan pastikan jumlah sama yang akan keluar (pulang) dari negara ini.

"Ini kerana agensi pelancongan berdaftar dengan MOTAC mementingkan nama baik agensi dan tidak mahu disenarai hitam oleh pihak berkuasa," katanya mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang menyasarkan kedatangan lima juta pelancong China ke Malaysia tahun ini berbanding 3.1 juta pada 2019.

Tiong dipetik berkata sasaran itu ditetapkan, susulan keputusan negara itu membuka semula sempadan pada 8 Januari lalu selepas tiga tahun sekatan dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

Namun timbul kegusaran dalam kalangan pihak tertentu berikutan sebelum ini terdapat dakwaan 1.2 juta warga China yang masuk ke Malaysia 'hilang dari radar'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 6:40 PM