Muhaamad Hafis Nawawi

Sungai Buloh: Ahli keluarga dan kenalan yang ada kehilangan individu diminta tampil membantu siasatan polis berhubung penemuan mayat dipotong enam di tepi jalan Kilometer (KM) 447, Lebuhraya Utara Selatan, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, hasil bedah siasat menganggarkan mangsa sudah meninggal dunia kira-kira 12 jam sebelum mayatnya ditemukan.

Menurutnya, polis sehingga kini belum menemui sebarang petunjuk mengenai identiti mangsa dan pada masa sama, tiada mana-mana pihak yang ada kehilangan ahli keluarga atau kenalan tampil membuat laporan berkaitan kes ini.

"Siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa sedang dijalankan termasuk meneliti laporan kes orang dilaporkan hilang sebelum ini.

"Berdasarkan bedah siasat, mayat juga didapati tidak mempunyai kesan suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG), maka kemungkinan besar mangsa warga asing," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mungkin akan memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengenal pasti identiti mangsa,

Harian Metro sebelum ini melaporkan proses bedah siasat yang dijalankan semalam mendapati, mangsa adalah seorang lelaki bukan warga negara Malaysia dan bukan beragama Islam.

Mayat tidak mempunyai kesan suntikan BCG.
Mayat tidak mempunyai kesan suntikan BCG.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 3:03 PM