MAYAT lelaki yang ditemui dalam longkang, semalam.
MAYAT lelaki yang ditemui dalam longkang, semalam.
Siraj Mohd Zaini


MAYAT lelaki tanpa identiti yang ditemui mati dalam longkang di Persiaran Anggerik Renantanda, Seksyen 31, Shah Alam, semalam dipercayai warga asing.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ia berdasarkan keputusan bedah siasat awal di Hospital Shah Alam, hari ini yang mendapati mangsa tiada suntikan BCG pada lengannya.

Menurutnya, terdapat tiga kesan tikaman iaitu satu di dada serta dua lagi di bahagian perut mangsa.

“Kebiasaannya warga asing tiada suntikan BCG, namun kita masih tunggu pengesahan cap jari mangsa kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui,” katanya kepada Harian Metro.

Baharudin berkata, mangsa berketinggian 164 sentimeter dan berat 58 kilogram (kg), berkulit cerah dipercayai dibunuh.

“Dia disahkan meninggal dunia kerana luka tikaman di dada dan perut,” katanya yang memberitahu belum ada tangkapan dilakukan setakat ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Yong Meng Heng di talian 019-5753399 untuk bantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Mayat dalam longkang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 3:33 PM