GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Seorang pesara polis maut selepas motosikal kuasa besar yang ditunggangnya hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di kilometer 32.5 Jalan Kluang-Teck Wah Heng di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Firdaus Abdullah, 61, mengalami kecederaan parah di peha kanan, kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian

"Kemalangan tersebut berlaku pada jam 10.35 pagi membabitkan motosikal jenis Kawasaki Z250 yang ditunggang mangsa yang tinggal di Bandar Seri Impian.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa datang dari arah Renggam menghala ke Layang Layang.

"Ketika tiba di tempat kejadian motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan disebabkan ada garisan kuning untuk perlahankan kenderaan.

"Akibat daripada itu, motosikal mangsa terbabas ke tepi jalan dan melanggar tiang elektrik," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 4:41 PM