CHEN (kiri) dan Syed Ahsan (dua dari kiri) dan Loh (tiga dari kiri) ketika pelancaran kempen berkenaan. FOTO Aqil Sharullizam
CHEN (kiri) dan Syed Ahsan (dua dari kiri) dan Loh (tiga dari kiri) ketika pelancaran kempen berkenaan. FOTO Aqil Sharullizam
Aqil Sharullizam


Petaling Jaya: NSK Grocer (KL) Sdn Bhd (NSK Grocer) dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur, menganjurkan Pakistan Mango Fest (Festival Mangga Pakistan) di NSK Grocers, 3 Damansara di sini.

Kempen itu bermula hari ini sehingga Ahad (20 Ogos) bertujuan memperkenalkan mangga Pakistan kepada rakyat Malaysia.

Kira-kira 100 karton mangga Pakistan dibawa ke Malaysia sempena promosi berkenaan.

Pengunjung turut disajikan dengan pelbagai variasi mangga termasuk kek, jus mangga dan jeruk.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah berkata, keunikan buah mangga Pakistan ini menjadikan ia dianggap sebagai 'raja buah' di negara berkenaan.

Beliau berkata, mangga yang dipromosikan pada majlis hari ini adalah mangga Chaunsa.

"Ia mempunyai rasa sangat sedap, aromatik serta manis," katanya pada pelancaran kempen itu.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan, Datuk Seri Mohamad Nazir Meraslam dan Pengarah Eksekutif NSK Grocer, Loh Teck Wah.

MANGGA Chaunsa yang dipromosikan pada majlis berkenaan. foto Aqil Sharullizam
MANGGA Chaunsa yang dipromosikan pada majlis berkenaan. foto Aqil Sharullizam

Dalam pada itu, Syed Ahsan berkata, kempen itu antara langkah untuk meningkatkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Pakistan.

Beliau berkata, eksport utama lain dari Pakistan seperti tekstil, daging halal dan peralatan pembedahan diharap akan dapat memasuki pasaran Malaysia pada hadapan.

Sementara itu, Pengarah NSK Trading Sdn Bhd, Kenny Chen, berkata, kerjasama ini bakal mempromosikan keunikan buah mangga Pakistan.

"Saya juga berharap supaya kerjasama ini mampu mendapat sokongan dan memberi manfaat kepada semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 5:07 PM