Puad Zarkashi.
Puad Zarkashi.
Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Perwakilan yang menyokong usul tambahan supaya dua jawatan utama parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang, lebih ramai berbanding yang tidak menyokong usul itu, pada Perhimpunan Agung Umno (Pau) 2022 di Dewan Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, mereka yang tidak menyokong usul itu dengan teriakan 'boo' hanya beberapa orang saja yang disifatkan 'pro' surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri (PM) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

"Padahal yang 'boo' itu hanya dua tiga kerat Ketua Bahagian yang properancang utama SD dokong Muhyiddin sebagai PM.

"Sedangkan hampir dua pertiga perwakilan berdiri sokong usul tambahan oleh wakil Negeri Sembilan," katanya dalam catatannya di Facebook, hari ini.

Katanya, apabila pembahas seterusnya hingga ke petang menyokong usul tiada pertandingan dua jawatan itu, pihak berkenaan menyepi.

"Apa pun tengok hari ini. Usul itu akan diundi. Jangan pula tuduh di belakang, parti tidak demokratik setelah diundi. 'Boo' itu sendiri adalah demokrasi walaupun tidak bersusila," katanya.

Semalam, Pau 2022 hangat apabila perwakilan Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan, jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Cadangan usul itu dikemukakan wakil Umno Bahagian Rembau Mohd Shukri Shamsudin pada ucapannya sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden.

Usul itu kemudiannya disokong oleh perwakilan Terengganu merangkap Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Usul yang dikemukakan itu mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan yang mana ada suara teriakan 'boo' dan ada juga yang bertepuk tangan di Dewan Merdeka WTCKL.

Selain Mohd Shukri, perwakilan Wanita Umno, Suziyana Mahayuddin turut mengemukakan cadangan usul tambahan sama untuk dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan dan usul itu turut disokong perwakilan Terengganu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Isham Jalil dilaporkan turut menafikan berlaku kekecohan dalam dewan susulan usul dua jawatan penting itu tidak dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 10:14 AM